SEBUAH video memaparkan seorang penunggang superbike berang lalu memukul pengawal keselamatan selepas dipercayai terlanggar palang automatik, menjadi tular di laman sosial.
Dalam kejadian yang berlaku pada 4 Februari lalu itu, difahamkan punca amarah lelaki berkenaan masih belum dikenal pasti.
Ekoran itu, netizen secara sarkastik berpendapat ia mungkin salah pengawal keselamatan, abang ‘superbike’ atau palang tersebut.
Menerusi video berdurasi tiga minit itu, dua penunggang superbike dilihat hendak keluar daripada tempat kejadian yang mana lokasi sebenar tidak dinyatakan.
Sebaik sahaja penunggang pertama melepasi palang di lokasi tersebut, penunggang kedua yang berada di belakang dilihat secara melulu keluar tanpa menunggu palang berkenaan tertutup dan dibuka semula.
Bagaimanapun, penunggang kedua terbabit gagal melepasi palang tersebut lalu terkena topi keledar yang dipakai sehingga mengakibatkan cerminnya tercabut.
Berang dengan keadaan itu, penunggang tersebut kemudian memberhentikan motosikalnya di sebelah pondok pengawal keselamatan dan pada masa sama rakannya dilihat berpatah balik selepas menyedari insiden tersebut.
Selepas itu, penunggang terbabit dilihat cuba menyalahkan pengawal keselamatan berhubung insiden itu sebelum bertindak kasar dengan menampar muka mangsa di luar pondok keselamatan.
Bagi meredakan keadaan, pengawal itu mengajak penunggang terbabit ke dalam pondok keselamatan berkemungkinan atas tujuan untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan cara yang baik.
Bagaimanapun, berdasarkan gerak tubuh penunggang terbabit berkemungkinan penjelasan yang diberikan mangsa tidak memuaskan hati sehingga menyebabkan dia menampar muka lalu menendang pengawal tersebut.
Video yang menerima lebih daripada 182,000 tontonan itu dilihat menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Rata-rata antar mereka meluahkan rasa tidak bersetuju dengan tindakan penunggang itu yang memukul pengawal berkenaan dek kerana insiden itu.
Malah, mereka juga berpendapat penunggang tersebut tidak seharusnya keluar secara serentak ekoran palang itu menggunakan sistem automatik.
Sehingga kini, rakaman video berkenaan terus menjadi perhatian netizen khususnya di laman Facebook. – MYNEWSHUB.CC/AM