KOTA BELUD – Gagal mengawal kemarahan, seorang remaja bertindak biadap menumbuk seorang anggota polis trafik yang sedang menjalankan tugas di sebuah lokasi kemalangan di tepi jalan berhampiran bulatan Kampung Lebak Moyoh, di sini, Jumaat lalu.
Berikutan itu, suspek merupakan remaja lelaki berusia 19 tahun telah ditahan serta merta oleh sepasukan unit anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud yang bergegas ke lokasi kejadian kira-kira jam 3.15 petang.
Lapor Astro Awani, anggota polis berpangkat koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud itu pada mulanya tiba di lokasi kejadian untuk mengambil gambar kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah motosikal jenis Honda Wave.
Selesai mengambil gambar, dia bagaimanapun didatangi suspek bersama seorang lagi lelaki dipercayai merupakan ahli keluarga mangsa kemalangan itu dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga.
Pada masa yang sama berlaku pegelutan di antara pihak yang terlibat sehingga memaksa anggota terbabit campur tangan bagi meredakan situasi yang dilihat semaking tegang.
Malangnya, niat baik anggota trafik itu telah disalah ertikan oleh suspek yang secara tiba-tiba bertindak menumbuk kepalanya dari arah belakang.
Kejadian mengejutkan itu juga sempat dirakam orang awam sebelum video dimuat naik dan menjadi tular di media sosial sejak petang semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah telah mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Jika disabit bersalah, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – MYNEWSHUB.CC