SEBUAH video memaparkan seorang lelaki yang menerima RM12,000 dalam bentuk jambangan daripada kekasihnya menjadi tular menerusi laman sosial.
Memetik sumber, lelaki yang dikenali sebagai Tua itu menerima jambangan duit berkenaan daripada teman wanitanya, Pilaslak Puenchoke bersempena ulang tahun kelahirannya.
Video berdurasi kurang seminit itu menyaksikan kekasih lelaki berkenaan yang berusia dalam lingkungan 20 tahun membuat kejutan dengan membawa jambangan tersebut ke restoran di mana Tua sedang menikmati makan malam.
Terkejut dengan keadaan itu, Tua segera bangun daripada kerusi lalu segera mendekati kekasihnya itu sebelum dilihat mengambil gambar bersama.
Dalam pada itu, memetik laporan Coconuts Bangkok, kami di Mynewshub difahamkan jambangan berkenaan dihasilkan dengan wang kertas bernilai 500 baht (RM61.90) setiap sekeping.
Menurut Puenchoke, hadiah tersebut adalah bersempena meraikan hari lahir teman lelakinya dan juga Hari Kekasih yang bakal berkunjung tiba tidak lama lagi selepas setahun menjalinkan hubungan cinta.
“Jambangan ini adalah hadiah hari jadi dan hadiah Valentine. Dia mahukan barangan lelaki dan saya tidak tahu apa yang harus dibeli untuknya. Saya dapat idea jambangan wang di Instagram dan mahu dia memilikinya,” katanya.
Tambahnya lagi, dia meminta penggubah bunga untuk membuat jambangan itu yang mana secara keseluruhannya bernilai 104,000 baht (RM12,874).
Malah, difahamkan juga bahawa kesemua duit itu adalah hasil daripada titik peluhnya sendiri yang menjual barangan kosmetik secara atas talian.
Sementara itu, ditanya mengenai reaksi teman lelakinya sejurus menerima jambangan tersebut, Puenchoke berkata Tua gembira dengan hadiah itu dan dia sama sekali tidak mengharapkan kejutan yang ‘besar’ seperti itu.
Perkongsian itu dilihat mendapat lebih 400,000 tontonan dan terus menjadi perhatian netizen yang rata-rata menyifatkan lelaki berkenaan cukup bertuah kerana dapat ‘pakej’ kekasih cantik dan berduit. – MYNEWSHUB.CC/AM