SEEKOR rusa sambar yang semakin jarang ditemui di Singapura mati selepas dilanggar sebuah kenderaan dalam kejadian di Jalan Mandai, malam Sabtu lalu.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik Muhd Iqbal Zai, rusa malang itu dikatakan masih hidup selepas dialihkan ke bahu jalan dipercayai oleh pemandu kenderaan terbabit.
Namun mamalia berkaki empat itu mati tidak beberapa lama kemudian akibat kecederaan dalaman yang teruk.
Difahamkan, kelibat haiwan berkenaan sudah beberapa kali dilihat oleh orang awam di lokasi yang sama.
Namun kali ini malang menimpanya apabila salah seekor daripada spesis itu terlibat kemalangan ketika menyeberangi jalan.
Pada 8 Januari lalu, seekor rusa sambar dirakam melintas jalan di lebuh raya yang sama pada waktu tengah hari dan sebagai rekod kemalangan membabitkan haiwan itu pernah beberapa kali dilaporkan dilokasi berkenaan. – MYNEWSHUB.CC