TAK salah rasanya jika Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mewujudkan satu anugerah khas saat-saat kelakar dalam perlawanan bola sepak.
Jika benar-benar ada, mungkin salah satu cadangan ialah kisah penjaga gol daripada kelab MSV Duisburg ini.
Baru-baru ini ketika di dalam aksi perlawanan divisyen dua liga Jerman, Mark Flekken telah melakukan kesalahan yang boleh dikira terlalu besar dan pada masa sama agak melucukan.
Mana taknya, pemain berusia 24 tahun itu secara tidak sengaja telah melepaskan gol gara-gara ingin meminum air.
Penjaga gawang yang berasal dari Belanda itu telah melakukan kesilapan itu ketika pasukannya bertemu Ingolstadt pada Sabtu.
Menerusi rakaman, Mark dilihat fokus berjalan ke dalam gawang untuk mengambil air tanpa memperdulikan perlawanan.
Membuatkan penyerang pasukan lawan, Stefan Kutschke menggelecek bola sebelum menjaringkan bola ke dalam gol yang ternganga.
Sedangkan, pertahanan Duisburg yang berdekatan Gerrit Nauber gagal melunaskan tanggungjawab yang sepatutnya.
Kejadian memalukan yang berlaku pada minit ke-18 itu akhirnya menyebabkan Ingolstadt menyamakan kedudukan dengan mata satu sama.
Meskipun ia sesuatu yang tidak dijangkakan, Duisburg bangkit semula dan berjaya menewaskan Ingolstadt dengan keputusan 2-1, sekaligus meletakkan pasukan dibawah Iliya Gruev itu kini menduduki tangga ke-4 carta divisyen dua Bundesliga. – MYNEWSHUB.CC