RAKAMAN video sebuah kereta yang dipandu secara melulu kemudian merempuh seorang anggota polis sebelum melarikan diri, tersebar di media sosial Indonesia.
Lapor Tribunnews, dalam kejadian yang berlaku di Jalan Bunguran, Surabaya, Indonesia itu, pemandu terbabit dikatakan gagal memperlahankan kenderaannya lalu terlanggar motosikal yang ditunggang anggota polis.
Akibat dari pelanggaran itu, mangsa terjatuh dan secara tiba-tiba kereta jenis Toyota Vios itu terus memecut melarikan diri dan tindakannya itu hampir menyebabkan mangsa digilis.
Susulan itu, beberapa penunggang motosikal kemudian bertindak mengejar kereta lelaki itu sehingga berjaya ditahan.
Sementara itu menerusi video kedua, orang ramai mengerumuni kereta suspek dan mendesak agar pemandunya menyerah diri.
Beberapa penunggang motosikal juga dilihat bertindak merosakkan dan memecahkan cermin kereta tersebut.
Pemandu kereta berkenaan yang dikenali sebagai Ifron Muchtarom, 26, yang dalam perjalanan dari Surabaya, pulang ke Gresik mengaku berasa takut lalu mendorongnya untuk melarikan diri.
Lelaki itu juga turut cedera di bibir dan mulut akibat dipukul orang awam yang mendesaknya keluar dari keretanya.
Sementara itu, siasatan awal mendapati, Ifron mempunyai kes salah guna dadah jenis syabu pada 6 Februari lalu dan melarikan diri ketika disoal siasat.
Ifron telah didapati bersalah kerana memilik dua paket syabu seberat 1.6 gram yang tersimpan di dalam rumahnya selepas polis melakukan serbuan di kediamannya.
Keadaan itu menyebabkan dia berasa takut lalu memecut keretanya meninggalkan mangsa di tempat kejadian.
Hasil ujian air kencing juga mendapati, pemandu terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan dia akan didakwa kerana memandu secara berbahaya dan salah guna dadah. – MYNEWSHUB.CC