CHINA – Seorang wanita bertindak masuk ke dalam mesin pengimbas X-ray di sebuah stesen kereta api di China kerana bimbang beg tangan miliknya hilang ketika melalui pemeriksaan keselamatan berkenaan.
Petugas keselamatan di stesen kereta api di Dongguan, selatan China terkejut apabila melihat imej wanita berkenaan pada skrin mesin pengimbas X-ray itu.
Menurut laporan Pear Video, kejadian luar biasa itu berlaku pada Ahad lalu ketika jutaan penduduk China pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti sambutan Tahun Baru Cina yang disambut esok.
Media di China turut menyiarkan imej X-ray yang menunjukkan wanita itu yang masih memakai kasut tumit tinggi berlutut ketika masuk ke dalam mesin pengimbas berkenaan bersama barangan miliknya.
Satu rakaman video turut menunjukkan wanita itu keluar dari mesin pengimbasan dan seorang petugas kelihatan terkejut dan ketawa melihat gelagatnya.
Wanita itu kemudian memeriksa beg tangan dan bagasinya seperti tiada apa-apa yang berlaku sebelum meninggalkan pusat pemeriksaan berkenaan.
Penumpang wanita itu dilaporkan bertegas untuk masuk ke dalam mesin pengimbas X-ray berkenaan kerana bimbang beg tangan miliknya dicuri atau hilang.
Cuti Tahun Baru Cina bermula pada 1 Februari lalu di China dan dianggap penghijrahan tahunan manusia terbesar di dunia.
Di China saja, kira-kira 390 juta penumpang dijangka menggunakan perkhidmatan kereta api dalam tempoh 40 hari.
China Central Television Station melaporkan, sejumlah 2.98 bilion perjalanan pula dilakukan oleh 1.4 bilion penduduk China menggunakan kereta api, bas dan pesawat sepanjang tempoh perayaan itu. – Agensi/myMetro Online