PERTAMA kali bergandingan, hero drama bersiri Ti Amor Sweetheart 100 Hari iaitu Zul Ariffin mendedahkan bahawa berlakon adegan mesra dengan Neelofa bukanlah mudah kerana mereka tidak saling mengenali sebelum ini.
Zul atau Zulkifli Ariffin, 32, berkata, siruasi yang diletakkan terhadap mereka adakalanya memang amat memalukan dan janggal, namun mereka harus bersikap profesional demi kepuasan penonton.
Malah, Zul turut menyatakan penghargaannya kepada krew produksi yang bertungkus-lumus memastikan jalan cerita drama bersiri itu dapat direalisasikan dengan sempurna.
Menggunakan platform Instagram untuk meluahkan perasaannya, Zul memuat naik sebuah entri yang menunjukkan salah satu babak daripada drama tersebut yang kini dalam proses penggambaran di Rom, Itali.
“Ini apa sebenarnya yang berlaku di lokasi penggambaran, apabila dua pelakon yang tidak mengenali diri masing-masing sebelum ini diletakkan di dalam situasi di mana mereka perlu berpura-pura seperti sudah lama intim.
“Adakalanya memang terasa janggal, adakalanya sedikit memalukan tetapi pokoknya ianya bukan sahaja setakat mewujudkan sesuatu yang boleh meyakinkan penonton tetapi juga untuk memberikan persembahan yang terbaik berdasarkan jalan cerita yang telah disiapkan dengan penuh penat lelah oleh pasukan produksi,” tulisnya.
Zul turut menyampaikan bahawa meskipun penonton hanya dapat melihat pelakon sahaja melalui skrin televisyen, namun sebenarnya disebalik tabir terdapat pasukan krew yang bekerja keras untuk memastikan cerita tersebut digarap dengan baik.
“Pelakon dapat dilihat menerusi skrin tetapi setiap babak itu adalah bergantung kepada hasil kerja berpasukan dan bagaimana kami persembahkan kepada anda.
“Kami berharap anda akan menyukai produknya nanti,” tulisnya lagi.
Baca: Terlalu Mesra, Peminat Suruh #Zulofa Nikah!
Juga: Demi Jayakan Watak, Netizen Terkejut Lofa ‘Peluk’ Zul
Kehangatan drama bersiri tersebut sudah pun terasa meskipun masih belum ditayangkan.
Ini kerana, ramai yang merasakan gandingan Zul dan Neelofa benar-benar secocok dan mempunya on-screen chemistry yang begitu kuat.
Malah, tanda pagar yang sedang trending di Instagram kini adalah daripada gabungan nama kedua-dua peneraju utama drama ini iaitu #zulofa!
Kami juga tidak sabar untuk menyaksikan buah tangan terbaru Micheal Ang yang terkenal kerana berjaya ‘menyatukan’ pasangan pelakon utamanya seperti hubungan cinta tak kesampaian Fattah-Neelofa menerusi Suri Hati Mr. Pilot dan Fattah-Fazura yang akhirnya berkahwin setelah bergandingan dalam drama Hero Seorang Cinderella. – MYNEWSHUB.CC