Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Tiada Keperluan Kelantan Diisytihar...

KOTA BHARU - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, menegaskan...

Anti-Ateis: AS Senarai Saudi...

PASUKAN Donald Trump memulakan serangan terbaharu dengan mengkritik Arab Saudi sebagai negara yang...

Dua Bangunan Tahfiz Tergadai...

KUALA LUMPUR - Kerana mahu menambah pendapatan bagi menguruskan pusat tahfiz, seorang pengetua...

Iklan Viral: Nak Jual...

BERMACAM-MACAM cara marketing produk boleh kita jumpa zaman sekarang ni, malah ada iklan yang...

Zulkiffly: Periuk Api, Binatang Buas Mainan Harian

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

PERIUK api serta jerangkap samar bagi kebanyakkan anggota tentera di dunia, merupakan antara pembunuh yang paling dibenci. Ini kerana keupayaan alat letupan tersebut membunuh atau mencederakan manusia mnelalui kaedah yang cukup mudah tetapi amat merbahaya sekali iaitu dengan menanamnya di kawasan laluan manusia.

Memandangkan selepas ditanam, kedudukan periuk api atau jerangkap samar sukar untuk dikesan mata kasar, maka akibat yang boleh dihasilkan tentu sekali amat dahsyat. Malah ia boleh mengakibatkan anggota badan manusia berkecai.

Kerap juga alat letupan ini berjaya meruntuhkan semangat mereka yang dikehendaki melalui kawasan yang dipenuhi bahan berkenaan dan kerana sifat itu jugalah maka banyak pasukan tentera dan pemberontak gemar menggunakan alat ini untuk menewaskan lawan masing-masing.

Bagi pegawai tentera berusia 48 tahun ini pula, pengalamanya bertugas selama setahun sebagai pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Misi Verifikasi PBB di Angola (UNA VEM) III, menjadikannya lebih mengerti tentang bahaya periuk api.

Bahkan beliau menganggapnya sebagai lebih berbahaya daripada kumpulan bertelagah meskipun mereka sering membunuh antara satu sama lain.

Menurut anak jati Pekan, Pahang ini, kerisauan tentang kemungkinan diri sendiri terpijak periuk api bukan sahaja dialami olehnya tetapi kesemua yang pernah ditugaskan oleh PBB di negara yang dilanda perang saudara tersebut.

Bukan di negara Afrika lain yang turut bergolak tidak ada ancaman tersebut, tetapi suasana di Angola nyata berbeza.

“Bayangkan bagaimana perasaan anda jika berada di sini? Penduduknya hanya sekitar 11 juta orang tetapi periuk api lebih banyak daripada penduduk,” kata Pegawai Staf 2 Sistem Maklumat dan Pengurusan Tim Projek Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), Mejar Zulkiffly Mohd. Tahir.

Disebabkan bimbang menjadi korban periuk api, maka mereka sentiasa berhati-hati sewaktu bergerak. Pergerakan juga kerap terbatas. Kerana itu jugalah, maka mereka amat jarang memasuki kawasan hutan atau berdiri di bahu-bahu jalan.

Biasanya, mereka hanya bergerak di kawasan bandar, perkampungan atau pun atas jalan raya yang berturap.

“Kalau hendak kencing dalam perjalanan pun, kami akan berdiri di atas tar ataupun atas trek yang telah dilalui tayar kenderaan. Tiada siapa yang berani untuk kencing di celah pokok atau dalam semak kerana tahu bahaya yang menanti,” katanya.

Kesemua periuk api tersebut, dipercayai telah ditanam sejak tahun 1975 oleh tentera kerajaan dan pemberontak.

Kerajaan Angola ketika itu diperintah oleh Popular Movement for the Liberation of Angola (MPLA) pimpinan Agostinho Neto yang kemudiannya di ambil alih oleh Eduardo Dos Santos yang menjadi Presiden negara itu sekarang.

Bagaimanapun, pemerintahan parti tersebut ditentang oleh The National for Total Independent of Angola (UNITA) yang menganggap kemenangan MPLA dalam pilihanraya umum pada tahun 1992 sebagai tidak sah.

Pemberontakan

Ekoran itu, UNITA yang terdiri daripada kaum Orimbundu dan diketuai oleh mendiang Dr. Jonas Malheiro Savimbi melancarkan pemberontakan.

Memandangkan sepanjang tempoh perang saudara itu, terlalu banyak periuk api yang ditanam, maka akibatnya, ramai penduduk yang tidak berdosa kudung kaki dan tangan. Tidak kurang juga yang mati selepas terpijak periuk api.

Semasa berada di negara yang terletak di barat laut negara Afrika itu, Zulkiffly ditugaskan sebagai Pegawai Gerakan di Pos Cabinda bersama sembilan yang lain termasuk tiga dari Malaysia.

Yang lain, dua dari Negeria dan masing-masing seorang dari Jordan, Congo, Zimbabwe dan Bangladesh.

Antara tanggungjawab mereka ialah memastikan Perjanjian Damai Lusaka yang ditandatangani pada 20 November 1993 di Lusaka, Zambia dipatuhi termasuk gencatan senjata.

“Kami juga kerap membuat rondaan di kedudukan kumpulan UNITA dan MPLA serta membuat perhubungan dengan pentadbir tempatan.

“Perjalanan ke tempat mereka sering mendedahkan kami kepada letusan periuk api,” ujar pegawai yang ditauliahkan dalam Kor Armor Diraja ini.

Namun, sepanjang bertugas di sana dari 9 Januari 1995 hingga 8 Januari 1996, beliau bernasib baik kerana terhindar daripada kemalangan periuk api.

Ketika bertemu dengan kumpulan-kumpulan bertelagah juga, pemerhati PBB biasanya dilayan dengan baik oleh mereka.

Walaupun begitu, ada kalanya mereka akan mengelak daripada melakukan perbincangan jika mendapati ada penduduk atau pemberontak yang berada dalam keadaan khayal atau mabuk.

“Semasa mabuk pemberontak suka melepaskan tembakan rambang. Sebelum ini ada pemerhati PBB yang cedera selepas terkena tembakan pemberontak Savimbi,” katanya.

Selain tu, dalam kesibukan mencari jalan pendamaian tersebut, Zulkiffly turut pernah diserang malaria.


Penyakit bawaan nyamuk tiruk itu bukan hanya menyerangnya tetapi kesemua 40 pemerhati Malaysia yang pernah ditugaskan dibawah UNAVEM III. Ada antara mereka diserang sebanyak dua kali.

Bagi Zulkiffly, pengalaman diserang malaria ada kalanya menarik untuk dikenang. Beliau masih ingat bagaimana pada satu malam pada bulan September 1995, sendi-sendi badanya lemah dan berterusan sehingga esoknya.

Melihat badannya yang lemah, seorang pegawai pemerhati dari Sweden telah memberinya ubat malaria, tetapi terlebih dos apabila menyuruhnya menelan enam biji ubat sekali gus.

“Akibatnya saya menjadi terhuyung-hayang dan alami pening yang teruk,” ujar beliau.

Melihat itu, rakan-rakannya yang lain terus menghubungi ibu pejabat wilayah UNA VEM agar menghantar pesawat untuk membawa Zuljiffly ke hospital di Menongue.

Bayangkan bagaimana perasaan anda jika berada di sini? Penduduknya hanya sekitar 11 juta orang tetapi periuk api lebih banyak daripada penduduk.

Selepas lima jam menunggu, sebuah helikopter M-17 tiba dan membawanya terus ke hospital. Di sana beliau dirawat selama dua minggu sehingga sembuh.

Ketika ditugaskan di Pos Licua pula iaitu kira-kira lima jam penerbangan sari Luanda , ibu negara Angola, Zulkiffly berhadapan pula dengan ancaman binatang buas seperti gajah, singa, harimau dan dubuk.

Haiwan liar itu bukan sahaja kerap ditemui ketika meronda tetapi ia juga gemar ‘melepak’ di penempatan mereka yang hanya berupa khemah.

“Kala jengking juga cukup banyak di samping ular. Sepanjang berkhemah di situ, memang banyak kala jengking yang saya bunuh,” ujar beliau.

Makan Gajah

Zulkiffly berkata, kehadiran haiwan berbisa di situ bukanlah sesuatu yang menghairankan memandangkan kawasan penempatan mereka adalah berpasir dan mejadi habitat kegemaran spesies tersebut.

Walaupun binatang buas bebas berkeliaran di Licua, namun ia tidak pula di anggap ancaman besar oleh penduduk di situ.

Disebabkan itu jugalah, apabila menerima laporan bahawa sebuah kampung yang terletak kira-kira satu kilometer dari penempatan mereka diserang binatang buas, mereka tidak perlu terburu-buru untuk pergi melihat.

Ini kerana penduduk sendiri tahu menyelesaikan masalah mereka. Biasanya binatang buas yang hadir akan ditembak sampai mati oleh penduduk.

Malah Zulkiffly sendiri pernah melihat perbuatan mereka semasa meronda ataupun ketika menghabiskan cuti hujung minggu di kampungkampung berhampiran.

“Pernah sekali itu, saya dapat maklumat yang penduduk kampung sedang melapah gajah dan saya pergi ke sana.

“Ketika ditanya mengapa mereka berbuat demikian, barulah saya tahu bahawa mereka gemar memakan gajah dan seekor gajah boleh dijadikan stok makanan selama dua bulan. Paling mereka suka ialah belalai gajah. Itu bahagian yang paling sedap,” ceritanya.

Meskipun Licua merupakan kubu kuat pemberontak UNITA, tetapi mereka tidak pernah bermusuh dengan petugas PBB.

Hubungan baik yang terjalin membolehkan proses gencatan senjata berjalan lancar di samping memudahkan mereka bertukar-tukar barang.

Di Licua, wang dalam apa jenis sekalipun tidak bernilai. Hanya urus niaga sistem tukar barang sahaja yang diterima.

Oleh yang demikian, untuk mendapatkan barangan tertentu Zulkiffly sering bertukar barang yang dibelinya di Luanda dengan penduduk.

“Biasanya kalau kami inginkan telur ayam atau bawang, kami akan tukar dengan sabun, garam, tepung atau gula,” katanya.

Bagaimanapun, pertuturan mereka agak terbatas kerana penduduk setempat hanya tahu berbahasa Portugis. Bahasa Inggeris langsung tidak difahami oleh mereka.

Kebetulan, Zulkiffly dan pemerhati yang lain telah belajar bahasa Portugis di tanahair masing-masing dan ini telah membolehkan komunikasi sesama mereka berjalan lancar. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Kategori