JOHOR BAHRU – Johor mencatatkan seramai 1.8 juta pemilih berdaftar bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), mengikut Daftar Pemilih Terkini Suku 4 Tahun 2017.
Pengarah SPR Johor, Shafie Taib berkata jumlah itu meningkat kepada kira-kira 300,000 pemilih berbanding 1.5 juta pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
“Daripada 1.8 juta itu, 40 peratus daripadanya merupakan pengundi muda dalam lingkungan usia 40 tahun ke bawah,” katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat SPR bersama media Johor di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Akademi Pilihanraya Hasanul Isyraf Naim dan Presiden Kelab Media Johor Mohamad Fauzi Ishak.
Beliau berkata setakat ini, SPR Johor sudah 99 peratus bersedia menghadapi PRU14 dan hanya beberapa perkara yang perlu dilakukan termasuk mengadakan taklimat proses pengundian.
Shafie berkata sesi taklimat hari ini mendedahkan petugas media mengenai proses pilihan raya di negara ini terutamanya proses pengundian, peranan ketua dan kerani tempat mengundi, selain ketelusan SPR dalam mengendalikan pilihan raya.
“Pada PRU13, terdapat 11 peratus daripada 1.39 juta pengundi berdaftar di negeri ini tidak keluar mengundi.
“Maka, SPR menasihati mereka yang berdaftar supaya keluar mengundi pada PRU14 ini. Mereka ada tempoh mengundi dari 8 pagi hingga 5 petang, pilihlah mana-mana waktu yang sesuai untuk keluar mengundi,” katanya. – BERNAMA