MARAN – Seramai 10 pasangan melangsungkan perkahwinan beramai-ramai di Dewan Arena YAM Tengku Muda, di sini hari ini sempena Program Mega Raja Sehari anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Maran.
Rata-rata pengantin yang berumur 18 hingga 40 tahun ketika ditemui menzahirkan rasa gembira dengan program yang diadakan itu kerana ia bukan sahaja menjimatkan kos, malah menjimatkan masa, tenaga serta menyenangkan proses keseluruhan perkahwinan.
Bagi pasangan Nurul Yasmin Atiqah Azmi, 22, seorang juruwang dari Felda Jengka 6 dan Muhammad Haiqal Ismail, 26, dari Felda Jengka 8, program seperti itu dapat memudahkan pasangan muda seperti mereka berkahwin dan membina keluarga.
“Memang seronok apabila dapat berkahwin beramai-ramai seperti ini, malah ia akan menjadi satu sejarah untuk kami kenang sehingga anak cucu nanti,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis itu.
Beliau berharap majlis seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu lebih ramai golongan muda untuk berumahtangga terutama dalam keadaan kenaikan kos sara hidup pada masa kini.
Isteri Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, Datin Seri Fatimah Kassim merasmikan program itu yang diadakan dengan kerjasama Pegaga Emas Enterprise dan House of Zack Bridal Boutique.
Seorang lagi peserta program Norazah Hamzah, 33, dari Kampung Serengkam, Maran dan Mohd Sukry Jamaluddin, 33, dari Petaling Jaya pula, mereka mengetahui program pernikahan beramai-ramai itu melalui media sosial dan daripada rakan-rakan.
“Kami daftar pada bulan Februari dan walaupun lewat, proses pendaftarannya berjalan dengan lancar dan kami dapat kerjasama yang baik daripada pihak penganjur, malah kami juga bebas untuk menjemput 100 orang tetamu untuk meraikan perkahwinan kami,” katanya.
Sementara itu, wakil penganjur program itu Tengku Nur Nadia Tengku Mustafa berkata peserta hanya perlu membayar RM3,000 untuk pakej perkawinan termasuk kos juruacara majlis, sistem amplifikasi elektronik (PA System), baju pengantin, dewan, dan proses kebenaran berkahwin. – BERNAMA