LUMUT – Sepuluh pengusaha chalet di Pulau Pangkor hari ini masing-masing menerima dua buah skuter elektrik sebagai usaha menjadikan pulau peranginan itu sebuah pulau yang menggunakan teknologi hijau.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata skuter elektrik yang dikeluarkan syarikat pengeluar tempatan, Roda Prestasi Sdn Bhd itu dilihat sebagai langkah pengenalan bagi mengurangkan pencemaran akibat penggunaan petrol selain usaha melestarikan alam sekitar di pulau peranginan itu.
“Difahamkan ada beberapa tempat sudah memperkenalkan (skuter) tapi dalam konteks di Pulau Pangkor, kita mahu cuba dahulu untuk mempromosikan (penggunaan skuter).
Ini dilakukan sehingga kita mendapat satu keputusan yang baik ke arah penggunaan skuter tanpa petrol ini untuk teknologi hijau di Pulau Pangkor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pangkor: Melestari Pengangkutan Hijau, di Arena Pangkor di sini hari ini.
Zambry berkata pemberian kesemua skuter tersebut adalah hasil kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan Roda Prestasi Sdn Bhd melalui Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) sebagai inisiatif pembangunan dan pemerkasaan perniagaan pelancongan di Pulau Pangkor.
Zambry berkata skuter yang menggunakan bateri itu mampu bertahan sehingga 75 kilometer setiap kali di cas semula dan ia sangat bersesuaian dengan keluasan Pulau Pangkor yang hanya sekitar 14 kilometer persegi.
Katanya kos penggunaan skuter tersebut adalah lebih rendah daripada kos sebenar penggunaan petrol atau diesel .
“Ini bermakna satu bateri motor ini boleh digunakan untuk tiga ke empat hari bergantung kepada kekerapan penggunaan di mana bagi konteks Pulau Pangkor yang kecil ini lebih baik motor ini digunakan,” katanya.
Sementara itu, pengarah urusan Roda Prestasi Sdn Bhd, Ahmad Sabandi Othman berkata skuter dua roda (E2W) BOS 2000 tersebut merupakan hasil rekaan teknologi baharu di bawah biayaan Kementerian Sains Teknologi dan Innovasi (MOSTI).
Beliau berkata skuter itu mempunyai kekuatan mendaki berkecerunan sehingga 20 peratus yang mampu mencapai kelajuan sehingga 60 kilometer sejam.
“Kita telahpun membuat percubaan dengan menaiki skuter ini di Pulau Pangkor yang mempunyai kawasan berbukit dan kita yakin penggunaan motor ini memberi penjimatan yang berganda terutama kepada pengusaha untuk menjadikan ia kenderaan sewaan,” katanya. – BERNAMA