KEPALA BATAS – Polis menahan 18 penagih dadah dalam serbuan sarang penagih di Kampung Lembah Raja, Tasek Gelugor, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata kesemua lelaki yang berusia 26 hingga 55 tahun itu ditahan dalam Ops Sarang yang dijalankan dari 6 pagi hingga 2 petang tadi.
“Semasa operasi itu ada penagih dadah yang cuba melarikan diri ke kawasan ladang sawit yang terletak berhampiran namun tindakan pantas polis yang mengepung lokasi itu terlebih dahulu berjaya menahan mereka.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada buruh dan ada yang tidak bekerja. Polis turut merampas 21 peket plastik lut sinar berisi dadah jenis heroin seberat 29.5 gram bernilai RM460 dalam serbuan itu,” katanya di sini.
Beliau berkata ujian air kencing mendapati kesemua yang ditahan itu positif dadah dan mereka akan direman untuk siasatan lanjut. – BERNAMA