PORT DICKSON – Seorang wanita warga Indonesia dan anaknya yang berusia tiga tahun maut apabila motosikal yang dibonceng mereka dirempuh sebuah kereta, di KM 10 Jalan Seremban, dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Zainudin Ahmad berkata dalam kejadian 8.30 malam itu, pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan manakala penunggang motosikal dan seorang lagi pembonceng cedera ringan.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan jenis Perodua Kembara yang dipandu lelaki berusia 64 tahun, sedang dalam perjalanan ke Seremban.
Pemandu Perodua Kembara gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar belakang motosikal yang dikendalikan lelaki warga Indonesia, Akmin Hariyanto, 47 tahun, yang berada di hadapannya dari arah yang sama,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Zainudin berkata kemalangan itu menyebabkan isteri Akmin, Mulyana, 39, maut di tempat kejadian dan anaknya, Hidayu Nurmadna, 3, meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban akibat kecederaan parah.
Seorang lagi anak Akmin, Hidayah Nurmadna, 3, hanya cedera ringan. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…