SEREMBAN – Dua rumah hangus terbakar dalam dua kejadian berasingan di Nilai dan Seremban, masing-masing pada 2.08 dan 4.16 petang tadi.
Kebakaran itu melibatkan sebuah rumah flat di Taman Layang-Layang, Seremban dan sebuah rumah kayu berhampiran Pangsapuri Nilai Perdana, Nilai.
Dalam kejadian di Nilai, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Zainal Ahmad berkata rumah berkenaan hangus 100 peratus dan seorang lelaki rentung akibat terperangkap di dalam rumah itu.
“Bomba mendapat panggilan kecemasan pada 2.08 petang dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian. Ketika sampai, keseluruhan struktur rumah tersebut telah musnah dijilat api.
“Mayat mangsa yang rentung itu dipercayai warga Indonesia, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Zainal berkata seramai 15 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai dan Seremban 2 dikerah ke lokasi kejadian.
Dalam kes berasingan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Mohamad Idris ketika dihubungi berkata sebuah rumah kosong yang tidak berpenghuni di tingkat empat Flat Taman Layang-Layang terbakar.
“Kebakaran melibatkan perabot lama yang sudah tidak dipakai dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Bomba, katanya menerima panggilan kecemasan pada 4.16 petang dan tiba di lokasi kejadian bersama 16 anggota, enam minit kemudian bagi memadam dan mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan yang berpenghuni.
“Api dapat dipadamkan sepenuhnya setengah jam kemudian,” katanya. – BERNAMA