PARAH… Ribut tropika di Madagascar yang membadai sejak lima hari lalu setakat ini telah berjaya membunuh 20 orang dan sebanyak 19,000 lagi mangsa dilaporkan terjejas.
Menurut laporan Berita Harian, pejabat pengurusan bencana alam negara memaklumkan bahawa ribut yang berlaku di negara pulau tersebut telah menghalang beberapa lebuh raya apabila laluan itu dinaiki air.
Kawasan timur laut Semenanjung Masoala telah dilanda ribut hingga ke arah selatan pada Jumaat lalu dan tidak lagi dikategorikan sebagai bahaya selepas melepasi Lautan Hindi.
Terdahulu, jumlah kematian dicatatkan sebanyak 17 orang, manakala 15,000 lagi dilaporkan terjejas ekoran ribut yang membawa angin kencang selaju 105 kilometer sejam.
Madagascar yang merupakan salah sebuah negara termiskin di dunia, memang sering terdedah kepada ancaman bencana alam buruk seperti taufan dan ribut tropika.
Seramai 15 nyawa telah terkorban akibat taufan Ava pada Januari lalu. Manakala 78 orang lagi maut ketika taufan Enawo melanda negara itu Mac tahun lalu. – MYNEWSHUB.CC/MIZE