SHAH ALAM – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah mengenal pasti tiga bandar pelabuhan yang sesuai untuk dijadikan bandar perikanan yang akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk penempatan nelayan.
Pengerusinya Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata Kiamsam di Wilayah Persekutuan Labuan, Kuantan di Pahang dan Tanjong Bako di Kuching dipilih kerana lokasinya sebagai tempat pendaratan ikan terbesar negara.
“Kuantan merupakan jeti pendaratan hasil laut antara yang terbesar di Malaysia, Tanjong Bako, Kuching pula mempunyai pelabuhan perikanan yang terbesar di Asia Tenggara manakala Labuan dipilih kerana satu pertiga penduduknya terlibat dalam aktiviti perikanan.
“Tiga tempat ini adalah fokus utama LKIM bersama Jabatan Perikanan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum dikembangkan ke negeri-negeri lain,” katanya ketika temui pemberita selepas melancarkan Karnival Pendidikan Tinggi Negara Zon Selangor, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Kamel Mohamad dan Naib Canselor UiTM Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said.
Irmohizam berkata penubuhan bandar perikanan itu seiring hasrat kerajaan untuk mentransformasikan sektor nelayan bagi memastikan industri perikanan negara mampu bergerak seiring dengan negara maju lain.
Katanya kewujudan bandar perikanan itu bakal memberi impak besar antaranya meningkatkan sumber pendapatan komuniti nelayan selain menghasilkan industri peralatan nelayan moden seperti di San Francisco, Amerika Syarikat dan Perth, Australia.
Bagaimanapun, tegas beliau penubuhan bandar perikanan tidak wajar dikaitkan dengan penetapan harga ikan di negara ini kerana penentuan harga dipengaruhi pelbagai faktor seperti jumlah tangkapan ikan, musim tengkujuh dan sikap segelintir orang tengah yang memanipulasikan harga. – BERNAMA