TAWAU – Cubaan seorang juragan dan dua penumpang warga Indonesia menyusup keluar dari Kalabakan, Malaysia menuju ke Nunukan, Indonesia gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau di Pulau Simandalan dekat sini, malam tadi.
Pengarah Maritim Daerah Tawau, Kapten Maritim Romli Mustafa berkata ketiga-tiga lelaki berusia antara 38 hingga 53 tahun itu ditahan pada jam 7.30 malam selepas peronda APMM yang menjalankan tugas rondaan di kawasan tanggungjawab mengesan dan menahan sebuah bot laju mencurigakan.
“Pemeriksaan awal mendapati, bot tersebut tidak mempunyai sebarang nombor pendaftaran dan dua tahanan penumpang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah manakala juragan menunjukkan pasport Indonesia yang tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Romli berkata kesemua tahanan dan bot diiring ke jeti Maritim Malaysia, Tawau kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Tawau untuk tindakan lanjut.
Menurut Romli, pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan di kawasan tanggungjawab bagi menangani elemen jenayah di laut.
Menurutnya, masyarakat dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat sahih mengenai sebarang aktiviti menyalahi undang-undang termasuk kecemasan dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Tawau di talian 089-752115 atau MERS 999. – BERNAMA