BESUT – Sebanyak 359 pesawah padi yang mengalami kerugian akibat banjir penghujung tahun lepas akan menerima bantuan secara berperingkat berjumlah RM886,014 bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof memberitahu pengagihan peringkat pertama bermula di Besut, membabitkan 254 petani dengan kos RM627,373.
Katanya, daerah Setiu melibatkan 68 pesawah dengan kos RM179,395 dan Kuala Terengganu dengan 37 pesawah, berjumlah RM79,246 yang akan diserahkan minggu ini.
“Banjir yang melanda negeri ini pada akhir tahun lalu telah memusnahkan seluas 519.91 daripada 645.34 hektar kawasan padi membabitan kos kerugian berjumlah RM1.398 juta”, kata Muhammad Pehimi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Jerteh kepada media selepas menyampaikan bantuan kepada petani sekitar Besut, hari ini.
Menurut Muhammad Pehimi, daerah Besut merupakan kawasan yang paling banyak terjejas teruk dengan membabitkan kawasan padi seluas 358.52 hektar dikuti Setiu 105.81 hektar dan Kuala Terengganu seluas 55.58 hektar.
Bantuan berkenaan adalah daripada Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) yang merupakan insiatif Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membantu penanam padi yang pada mulanya mengalami kerugian akibat pokok padi diserang wabak penyakit Hawar Daun Bakteria di Selangor dan kemudian ditambah baik dengan melibatkan pelbagai masalah lain yang dihadapi golongan petani.
Katanya , bantuan maksimum RM1,800 bagi kawasan seluas sehektar yang padinya berusia lebih 70 hari manakala yang kurang dari tempoh tersebut penanam akan hanya menerima sebanyak RM765 sehektar dengan keluasan sawah maksimum tiga hektar bagi setiap pesawah.
“Kerajaan juga akan mengeluarkan bantuan kepada penanam padi sebanyak RM200 sebulan untuk selama tiga bulan,” katanya.
Sementara itu ketika berucap di majlis tersebut Muhammad Pehimi yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri berkata tuduhan pembangkang bahawa pemberian TBTP itu bertujuan mendapatkan sokongan menjelang pilihan raya adalah tidak benar.
“Bantuan tersebut sebenarnya telah dirancang untuk diberikan sejak beberapa tahun sebelum ini agar ianya seimbang dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada para nelayan Kerajaan tidak mempunyai niat disebalik pemberian TBTP itu kerana ianya diwujudkan semata-mata untuk membantu para petani yang mengusahakan tanaman yang menjadi keperluan utama kepada penduduk”, katanya. – BERNAMA