MOSCOW – Sekurang-kurangnya 37 orang maut dalam kebakaran sebuah pusat beli-belah di bandar Kemerovo, yang terletak di barat daya wilayah Siberia pada Ahad, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan agensi berita Rusia TASS.
Menurut TASS, yang memetik kenyataan jabatan bomba, sejumlah 69 orang termasuk 40 kanak-kanak, belum dapat dikesan.
Laporan itu menyebut anggota bomba bertungkus-lumus mencari mereka yang hilang di lokasi kejadian.
Kira-kira 120 orang berjaya dikeluarkan dari bangunan seluas lebih 1,000 meter persegi itu semasa api merebak dengan pantas ke seluruh pusat beli-belah tersebut, demikian menurut laporan agensi berita tempatan Sputnik.
Lebih banyak anggota penyelamat akan digegas ke lokasi kebakaran, kata Menteri Situasi Bencana Rusia Vladimir Puchkov menerusi laman sesawang rasmi kementerian itu.
Setakat ini, punca kebakaran pusat beli-belah itu belum diketahui. – BERNAMA