JOHOR BAHRU – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), menyediakan dana RM100 juta bagi membantu golongan wanita untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan agro makanan dan pertanian.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata bantuan menerusi Skim TemanNita tersebut bertujuan memberi galakan selain membantu wanita meningkatkan taraf hidup dan memperkasakan ekonomi keluarga.
“Permohonan masih terbuka, namun, setakat ini tidak melebihi 50 peratus permohonan diterima. Masih ramai golongan wanita belum mengetahui mengenai dana ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Agronita Peringkat Negeri Johor 2018 di Kampung Padang Ujung, Pendas, Gelang Patah, dekat sini hari ini.
Tajuddin berkata dana tersebut baru dilancarkan awal tahun ini, dan TEKUN bukan sahaja memberi bantuan dana malah menyediakan kursus di pusat latihan serta bantuan peralatan untuk membuka perniagaan.
Seramai 500 wanita dari Johor menyertai seminar berkenaan yang bertujuan memupuk minat dan pengetahuan komuniti wanita di negeri ini supaya terlibat dalam sektor pertanian dan industri asas tani.
“Seminar ini diadakan bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa wanita mendepani cabaran revolusi industri dalam semua bidang, terutama keusahawan kerana kita tidak mahu mereka (wanita) ketinggalan.
“Kita mahu memperkasakan mereka dari segi ekonomi dan menjadikan mereka berdikari,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi membangunkan pasar nelayan di Kampung Padang Ujung.
Pasar nelayan berkenaan dijangka siap pada suku kedua tahun ini bagi merancakkan lagi ekonomi masyarakat di sini. – BERNAMA