Sunday, December 29, 2024

Creating liberating content

‘Bohonglah Kamal Tak Tahu...

PETALING JAYA – Pelakon Intan Ladyana menganggap dakwaan kononya Kamal Adli, 29, terkejut...

Selfie ‘Mahal’ Dua Atlit...

PERGOLAKAN di antara dua negara Korea Utara dan Korea Selatan sememangnya diketahui umum. Walaupun...

Padah Anggota Polis Rogol,...

SEORANG anggota polis di United Kingdom (UK) yang merakamkan dirinya merogol seorang wanita...

Tiga Lelaki Pukau Suri...

Kangar : Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia yang ditahan semalam kerana disyaki...

Abdullah: Jeneral Pertama Di Dunia Lakukan ‘Wing Walker’

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

“APA yang saya lakukan bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi sekadar menyahut seruan Malaysia Boleh.

“Ketika itu saya sedikit terpengaruh dengan usaha Abdul Malik Mydin yang mahu menyeberangi Selat Inggeris,’’ kata Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Abdullah Ahmad sewaktu ditanya mengenai aksi lagak ngeri Wing Walker yang dilakukannya pada 17 Julai 2003 di London.

Bagi beliau, aksi di udara yang dilakukannya itu ibarat pelengkap kejayaan rakyat Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Rakyat Malaysia sudah banyak mencipta kejayaan di darat mahu pun lautan seperti menawan Gunung Everest, belayar solo mengelilingi dunia dan berenang di Selat Inggeris.

“Tetapi kejayaan di udara agak kurang. Disebabkan itulah, semangat saya tiba-tiba sahaja berkobar-kobar untuk melakukan aksi tersebut,’’ katanya.

Menurut Abdullah, apa yang dilakukannya itu sebenarnya adalah tanpa dirancang lebih awal.

Malah beliau tidak menghadiri sebarang kursus bagi melayakkannya melakukan adegan ngeri tersebut.

Bagaimanapun, segala-galanya berubah dalam tempoh beberapa jam sahaja dan ia terjadi ketika beliau menghadiri Persidangan Panglima-Panglima Tentera Udara di London sempena pameran dan pertunjukan udara tahunan Royal International Air Tatoo (RIAT) 2003.

Menceritakan semula pengalaman tersebut, Abdullah memberitahu, ia berlaku sewaktu beliau menghadiri satu jamuan makan malam yang dihadiri oleh kesemua 42 Panglima Tentera Udara yang menyertai persidangan tersebut.

Sebelum jamuan bermula, beliau telah diminta memilih sebuah kapal terbang vintaj yang ingin diterbangkannya. Begitu juga dengan panglima-panglima yang lain. Abdullah memilih sebuah kapal terbang keluaran tahun 1939. Ketika asyik memerhati bentuk kapal terbang berusia 64 tahun itu, tiba-tiba perhatian Abdullah tertarik pada tiang yang terdapat pada sayap pesawat berkenaan sekali gus menunjukkan ia adalah kapal terbang untuk Wing Walker.

“Kemudian saya tanya penganjur, kenapa tidak ada orang buat aksi tersebut. Saya cakap kalau tidak ada orang nak buat, biar saya buat,’’ kata Abdullah.

Kehendaknya itu bagaimanapun mengundang ketawa dan pandangan sinis lelaki yang mengendalikan kapal terbang tersebut.

Kemudian dia memberitahu Abdullah bahawa penganjur hanya membenarkan beliau berada di dalam kapal terbang dan bukan di luar semasa terbang.

Malah kata lelaki tersebut, hanya orang yang terlatih sahaja dibenarkan membuat aksi ngeri itu.

Memujuk

Abdullah turut diberitahu bahawa orang kenamaan sepertinya tidak dibenarkan untuk melakukannya atas alasan jika kemalangan berlaku terhadapnya boleh menjejaskan reputasi penganjur di peringkat antarabangsa.

“Selepas itu saya cakap balik, bahawa nilai nyawa dia adalah sama dengan nilai nyawa saya.

“Namun dia tetap berkeras untuk tidak membenarkan saya lakukan aksi tersebut,’’ ujar beliau.

Setengah jam kemudian Abdullah kembali memujuk lelaki itu sekali lagi tetapi tetap gagal. Masuk kali kedua beliau merayu, lelaki tersebut tiba-tiba naik berang dan marah kepadanya.

“Masa itu, saya rasa terkilan apabila penganjur tetap berkeras untuk tidak benarkan saya lakukan aksi tersebut,’’ katanya.

Tatkala makan malam bermula pada pukul 9 malam, entah bagaimana hati Abdullah tergerak untuk berbual dengan seorang pegawai kanan Tentera Udara Diraja Britian berpangkat Leftenan Jeneral.

Pegawai tersebut merupakan rakan sekursusnya di Maktab Turus di London suatu masa dahulu.

“Saya beritahu dia, dalam semua lawatan saya ke London inilah lawatan yang paling mengecewakan.

“Sebaik mendengar apa yang saya katakan, dia terhenti makan. Dia tanya kenapa dan saya terus menceritakan apa yang berlaku,’’ kata Abdullah.

Pegawai tersebut kemudiannya memberitahu Abdullah bahawa dia akan usahakan apa yang dikehendaki tanpa mahu menjanjikan apa-apa.

Beberapa minit selepas itu, Abdullah melihat pegawai tersebut beredar ke luar dewan.

Apabila jamuan hampir selesai, tiba-tiba Abdullah melihat rakannya itu berlari ke dalam dewan dalam keadaan tergesa-gesa sambil melaung:

“Tuan! Cepat! Cepat! Tinggalkan makanan tuan. Saya telah cakap dengan mereka dan mereka akhirnya setuju untuk terbangkan tuan.’’

Sebaik keluar dewan, Abdullah mendapati hari baru menjelang senja meskipun jam telah menunjukkan hampir pukul 10 malam.


Memandangkan masih ada waktu untuknya, Abdullah terus naik ke atas kapal terbang. Tetapi, di situ didapatinya tiada pakaian khas disediakan untuk beliau.

Lantaran itu, Abdullah terpaksa menaiki pesawat dengan hanya memakai pakaian makan malam serta jaket untuk mengurangkan rasa sejuk serta gogal untuk memudahkan penglihatannya di udara.

Dengan menggunakan seutas tali, badan beliau kemudiannya diikat pada sebatang tiang di sayap pesawat.

Selepas itu Abdullah diajar oleh juruterbang yang juga merupakan veteran Tentera Udara Diraja Britain dua jenis isyarat iaitu menunjuk ibu jari ke atas sebagai tanda dirinya okey dan ibu jari ke bawah jika dirinya tidak okey ketika di udara.

Isyarat tersebut penting kerana apabila di udara, juruterbang tidak boleh bercakap dengan beliau kerana tiada alat komunikasi. Dan selepas itu, penerbangan pun bermula.

“Sewaktu di udara, satu ketika saya terfikir bahawa kaki dan badan langsung tak terikat. Apabila pesawat terbang senget, saya terfikir kalau tali pengikat tertanggal atau putus, sudah tentu saya mati,’’ kata Abdullah.

Sewaktu di udara, satu ketika saya terfikir bahawa kaki dan badan langsung tak terikat. Apabila pesawat terbang senget, saya terfikir kalau tali pengikat tertanggal atau putus, sudah tentu saya mati.

Tidak Mengaku Kalah

Saat paling ngeri baginya pula ialah ketika kapal terbang itu menjunam secara tiba-tiba sehingga menyebabkan dirinya seperti terapung di udara.

“Bila itu berlaku, saya jadi kelam-kabut nak cari tempat untuk berpegang. Sudahlah payung terjun tidak ada.

“Walaupun agak cemas, saya tabahkan hati. Sebagai anak Melayu, mana kita nak mengaku kalah,’’ katanya sambil ketawa yang ketika itu terbang pada ketinggian kira-kira 2,000 kaki.

Aksi cemas itu turut disaksikan oleh kira-kira 300 tetamu yang hadir dalam jamuan tersebut yang berpusu-pusu keluar dewan selepas mendapat tahu Abdullah sedang berada di udara.

Selepas berlegar-legar di udara selama kira-kira 20 minit, pesawat terbang rendah dan sebelum mendarat, Abdullah memberi tabik hormat kepada penonton yang seronok melihat aksi yang dilakukannya.

“Sebaik mendarat, mereka ramai-ramai menyerbu ke arah saya sambil bersorak dan memberi tepukan gemuruh.

“Sedangkan sebelum itu, saya setengah mati berada di udara,’’ jelas beliau tersenyum.

Apa yang membanggakan ialah kejayaan itu telah membolehkan Abdullah menjadi Panglima Tentera Udara dan Jeneral yang pertama di dunia berani mencuba aksi ngeri tersebut di samping menjadi rakyat Malaysia pertama melakukannya.

“Pengalaman tersebut sukar untuk digambarkan. Kalau ada peluang saya ingin lakukan sekali lagi,’’ katanya sambil mengukir senyuman puas.

Pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2003 (LIMA `03) yang berlangsung dari 30 September hingga 5 Oktober pula, Abdullah turut melakukan aksi yang jarang dilakukan oleh mana-mana Jeneral di dunia.

Sempena pameran tersebut, Abdullah menunjukkan kecekapannya mengendalikan helikopter Alouette 111 sebagai tanda terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang akan bersara pada hujung bulan itu.

“Saya rasa tidak ada cara yang lebih bernilai untuk mengucapkan terima kasih kepada Dr. Mahathir daripada Tentera Udara Diraja Malaysia selain daripada saya sendiri membuat pertunjukkan udara untuknya.

“Apa yang saya lakukan sebenarnya melebihi keupayaan maksimum helikopter tersebut seperti yang dinyatakan oleh syarikat pembuat,’’ katanya sambil menegaskan pergerakan yang dilakukannya adalah dilarang sama sekali dilakukan oleh juruterbang lain dalam TUDM.

Menurut Abdullah, beliau berani melakukan beberapa pergerakan merbahaya adalah hasil pengalaman yang diraihnya sebelum ini.

Pergerakan paling bahaya yang dilakukannya ialah sewaktu hendak mendarat.

Ketika helikopter berlegar tinggi di udara, beliau dengan sengaja telah mematikan enjin dan kemudian berusaha mendaratkan pesawat tersebut.

“Masa itu kipas masih berputar dan beransur-ansur menjadi perlahan.

“Kalau saya silap mendarat pasti berlaku kemalangan yang memungkinkan korban. Yang pasti, tiada peluang kedua jika melakukan kesilapan,’’ jelas beliau.

Untuk pertunjukan selama kira-kira 15 minit itu, kata Abdullah beliau terpaksa menjalani latihan semula selama 70 minit untuk menajamkan semula kemahirannya selepas 20 tahun tidak membawa helikopter. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Kategori