KANGAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar golongan penuntut menjadikan agama sebagai benteng pertahanan diri bagi menangkis pelbagai anasir jahat yang wujud seiring dengan gelombang globalisasi.
Sehubungan itu, baginda bertitah agama perlu dijadikan agenda utama sistem pendidikan negara selain kecemerlangan akademik kerana nilai-nilainya boleh menjadi tunjang peribadi setiap individu.
“Sikap positif perlu dibentuk dan nilai-nilai agama inilah yang mampu membentuk modal insan yang didambakan institusi keluarga, sekolah, masyarakat dan negara,” titah baginda ketika berkenan merasmikan program Titian Kasih Mega anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis di Sekolah Agama Al-Islahiyah dekat sini, hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin turut menyeru semua pihak yang berperanan dalam memajukan sistem pendidikan negara supaya mempersiap golongan pelajar dengan kecergasan fizikal, berani serta bersemangat waja agar mereka bersedia menghadapi cabaran masa kini.
“Hal ini penting kerana kemelut sosial semakin berleluasa dan melingkungi kehidupan remaja hari ini yang mudah merosakkan minda dan jati diri mereka…ini pasti menjejaskan usaha melahirkan bakal pemimpin berwibawa pada masa hadapan,” titah baginda yang juga Pengerusi YTSP. – BERNAMA