KUALA LUMPUR – Kesukaran rutin harian akibat gangguan air yang berlaku di beberapa kawasan di negeri Selangor sejak beberapa hari lalu telah dibawa ke persidangan Dewan Rakyat hari ini apabila ia dibangkitkan oleh beberapa anggota Parlimen yang turut menjadi “mangsa” krisis itu.
Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) dalam perbahasannya sempat menceritakan kesukaran yang dirasainya akibat gangguan bekalan air yang masih belum pulih sehingga pagi tadi.
“Cakap isu air, lepas persidangan ini saya harap bila saya balik nanti, insya-Allah ada air, saya boleh mandi dan tak perlu menumpang mandi di rumah orang lain,” katanya ketika membahas usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, di persidangan Dewan Rakyat di sini.
Abdul Rahman berkata sejak gangguan air berlaku di kawasan kediamannya di sebuah kondominium Rabu lepas, beliau terpaksa membeli air mineral dan mengangkut berbotol-botol air yang dibeli itu dengan menggunakan troli dari tingkat bawah hingga ke kediamannya di tingkat atas.
Katanya beliau juga sedih apabila melihat laporan media di mana penduduk terpaksa berbaris panjang untuk menunggu giliran mengangkut air.
“Ada yang sudah tua, tidak mampu lagi, sedih kerana kerajaan pembangkang di negeri Selangor masih tidak menyelesaikan isu air ini sehingga hari ini,” katanya.
Sementara itu, Datuk Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) berpendapat isu gangguan air tidak patut menjadi isu berpanjangan kerana ia menyusahkan rakyat.
“Saya lawat Cox Bazar di Bangladesh (kem pelarian Rohingya), saya lihat di sana bekalan air sukar didapati, saya ingat di sana susah, tapi di Selangor pun tiada air, Selangor (rakyat), tukarlah kerajaan lain,” katanya.
Sejak Selasa lepas sebanyak 427 kawasan di sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air berikutan kerja-kerja pembaikan peralatan kritikal selama 10 jam di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).
Antara kawasan yang terlibat adalah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat. – BERNAMA