MACHANG – Anggota Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub akan memohon peruntukan sebanyak RM2 juta daripada kerajaan persekutuan bagi membina bangunan tambahan Masjid Sultan Yahya Petra di sini.
Beliau berkata bangunan tambahan itu amat diperlukan terutama bagi menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat saban tahun terutama ketika Aidilfitri dan Aidiladha.
“Saya akan mengemukakan permohonan dalam masa terdekat dan setakat ini permohonan saya untuk keperluan sesebuah masjid tidak pernah dihampakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.
Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan replika cek bernilai RM400,000 bagi menaik taraf Masjid Ubudiah, Batu 23 di sini, hari ini.
Replika cek berkenaan diserahkan kepada imam tua masjid berkenaan Mat Sulaiman Jusoh selepas solat Jumaat hari ini.
Ahmad Jazlan berkata Najib sentiasa memberi perhatian yang serius terutama terhadap keperluan sesebuah masjid. – BERNAMA