SEKITAR 5 pagi sejak tiga hari lalu, Hery Anto Mohd Sujut bergegas ke kaki bukit sambil membawa tiga tong air bersaiz satu gelen setiap satu hanya untuk menadah air bukit.
Ia selepas bekalan air di rumahnya di Pangsapuri Sri Impian, Ukay Perdana, Ampang ‘kering-kontang’.
Walaupun tuntutan tugasnya bermula pada 8 pagi di Putrajaya, demi keperluan air harian 10 anggota keluarganya di rumah, Hery Anto, 44, terpaksa berbuat demikian, meskipun perlu berulang-alik hampir tiga kali ke tempat tadahan air kaki bukit yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.
Selain menyediakan sarapan untuk tiga anaknya yang masih bersekolah rendah sebaik isterinya keluar bekerja pada 6.30 pagi, bapa kepada lima anak ini juga perlu memandikan ibunya yang uzur, Sulaiha Mispa, 86.
“Setiap hari, itulah rutin saya dan isteri yang sememangnya memerlukan banyak penggunaan air. Tapi selepas terputus bekalan air di kawasan ini sejak beberapa hari lalu, kami terpaksa bergilir menadah air bukit seawal pagi dan akan sambung kembali pada waktu petang selepas habis bekerja.
“Nasib baik air bukit itu tidak pernah habis. Jika nak harapkan lori bekalan air sampai ke sini memang susah. Kalau datang pun hanya sekali iaitu pada dua hari lepas (Khamis) dan pada 3 pagi. Siapa yang larat bangun seawal itu lebih-lebih yang bekerja awal pagi?,” luahnya kepada Bernama, baru-baru ini.
Tinjauan Bernama di rumah Henry Anto mendapati ada 13 tong air untuk kegunaan harian tersusun kemas di ruang dapurnya yang menurut isteri Henry Anto, Amrina Amran, 37, air itu banyak digunakan untuk keperluan mandi dan memasak. Namun menurutnya, ia masih tidak mencukupi.
Isterinya, Amrina Amran, 37, berkata 13 tong air yang tersusun kemas di ruang dapurnya, bagaimanapun masih tidak mencukupi buat kegunaan harian kesemua anggota keluarganya.
“Apatah lagi ada anak kecil dan ibu yang uzur. Kakak ipar dan anaknya pun tinggal di sini. Saya memasak pun sudah jarang dan nak cuci baju pula perlu ke dobi di Taman Melawati kerana seluruh kawasan ini tiada air langsung,” katanya yang juga seorang tukang cuci di Bank Negara.
Keluarga Henry Anto adalah antara ribuan pengguna yang terjejas akibat gangguan bekalan air sejak Selasa lalu berikutan kerja-kerja pembaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) mulai 6 hingga 9 Mac.
Tempoh pemulihan itu, bagaimanapun tersasar daripada jangkaan apabila Sistem Mampatan Udara di SSP3 gagal berfungsi menyebabkan lima batang paip bersaiz 1,100 mm rosak dengan dua daripadanya pecah dan terpelanting keluar daripada struktur.
Berikutan itu, sumber air bukit berdekatan menjadi ‘penyelamat utama’ bukan sahaja kepada penghuni Pangsapuri Sri Impian, malah ia menjadi pilihan sementara penduduk perumahan sekitar lain seperti di Pangsapuri Sri Wira, Pangsapuri Sri Bistari dan Pangsapuri Sri Hijauan.
Penduduk sebuah pangsapuri di situ, Sahrudin Mashudi, 50, berkata air bukit yang mengalir kira-kira tiga kilometer dari puncak bukit berhampiran kawasan Bukit Antarabangsa itu mula dijumpai sekitar 2004 dan menjadi alternatif kepada penduduk sekiranya terdapat gangguan bekalan air.
“Kami pasang saluran paip dari atas puncak bukit hingga ke bawah dan takung air itu dengan lapan tangki supaya mudah orang ramai tadah air itu. Setakat ini, bukan sahaja penduduk di sini yang datang (tadah), ada juga yang datang dari Keramat.
“Kami ada juga beritahu pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk bantu sediakan paip yang lebih selesa di sini memandangkan kawasan ini sering tiada air dan wakil MPAJ pun pernah melawat, namun tiada sebarang tindakan diambil,” kata Sahrudin yang telah menetap di sini sejak 18 tahun lalu.
Seorang lagi penduduk, Mohd Bahiran Ahmad Zaki, 55, meminta pihak bertanggungjawab agar lebih peka dengan masalah gangguan bekalan air penduduk di sini yang seolah-olah dipandang sepi, walaupun banyak aduan telah dikemukakan.
“Kami sudah penat buat aduan kepada pihak berkuasa tapi seolah-olah masalah kami ini dipandang sepi sampai sekarang. Air bukit inilah satu-satunya harapan kami walaupun terpaksa beratur panjang,” katanya yang sudah menghuni kawasan itu sejak 2000. – BERNAMA