GEORGE TOWN – Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) cedera parah kerana tertembak diri sendiri selepas senapang patah yang dipegangnya terjatuh di tepi jalan Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, lelaki berusia 51 tahun dan bekerja sebagai pemandu di sebuah klinik kesihatan baru selesai menembak tupai di kebunnya di situ.
“Ketika itu dia dalam perjalanan pulang dan difahamkan senapang patahnya yang tidak dikosongkan (peluru) terjatuh dan tali senapang terkena pada picu senjata itu, menyebabkan tembakan dilepaskan dan terkena mangsa.
“Dua lelaki mendengar bunyi tembakan dan mendapati mangsa terbaring di tepi jalan. Mangsa cedera di tangan kiri, muka dan mata,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata lelaki yang mempunyai lesen senapang patah itu kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan keadaannya dilapor stabil. – BERNAMA