AUSTRALIA dan Vietnam meningkatkan kerjasama apabila menandatangani perjanjian kerjasama strategik di Canberra semalam, yang satu tujuan utamanya ialah mengimbangi pengaruh China yang semakin kuat di rantau ini.
Hasil perjanjian ditandatangani perdana menteri Australia dan Vietnam itu, menteri luar dan pertahanan kedua-dua negara akan bertemu setiap tahun, membincangkan kerjasama pelbagai bidang.
Canberra dan Hanoi bimbang dengan program China membina pulau dan meningkatkan kehadiran tentera di Laut China Selatan.
Selepas pertemuan Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull dan rakan sejawatnya Nguyen Xuan Phuc di Canberra, Turnbull berkata peningkatan hubungan kedua-dua negara bermatlamat mewujudkan sebuah rantau yang lebih selamat dan terbuka.
Australia dan Vietnam mahu perdagangan bebas terlaksana di rantau ini dan kedaulatan negara serantau dihormati, hal yang dilihat tidak dihormati oleh Beijing.
Kerjasama strategik kedua-dua negara ini meliputi peningkatan kerjasama pertahanan, keselamatan, perdagangan, pelaburan, pembangunan dan kerjasama pelancongan.
“Pengumuman ini sesuai sekali untuk menandakan hubungan diplomatik selama 45 tahun,” kata Turnbull.
Kerjasama Australia dengan Vietnam ini bakal mengundang kebimbangan China, kerana meluaskan lagi pakatan Australia dengan negara serantau untuk mengimbangi China.
Australia telahpun menjalin kerjasama pertahanan dan ekonomi dengan India, Jepun dan AS dalam satu pakatan empat negara yang dilihat bermatlamat mengepung China.
Perdana menteri Vietnam itu ialah pemimpin ASEAN yang paling awal tiba di Australia untuk sidang kemuncak Australia-ASEAN di Sydney yang bermula hari ini.
Sidang kemuncak ini akan memberi fokus pada pendidikan, kerjasama ekonomi, memerangi terorisme dan cabaran keselamatan serantau termasuk Korea Utara dan ketegangan di Laut China Selatan. – Agensi/Mynewshub.cc