TAHUN 2018 merupakan titik tolak baharu buat ramai selebriti tempatan yang mula berhijrah ke arah kebaikan, termasuklah kepada penyanyi Awi Rafael.
Bagi pemilik nama sebenar, Muhammad Namawi Ewan Bin Gunawan Rafael, 32, atau lebih mesra disapa Awi, tahun ini merupakan penghijrahannya dari segi peribadi mahupun kariernya sebagai seorang penyanyi.
“Saya rasa tahun ini merupakan tahun penghijrahan saya dari segi peribadi, muzik dan album baru yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Selepas lagu Manusia Sempurna diterima baik, saya rasa sangat positif. Ramai peminat yang minta untuk saya buat lebih banyak lagu seperti itu,” katanya dipetik daripada mStar Online.
Dalam masa yang sama, jejaka kelahiran Singapura itu turut mahu berhijrah ke arah yang lebih baik.
Sekitar tahun 2015 lalu, Awi telah membawa kelainan dalam rentak muziknya selepas mula mencipta lagu ketuhanan berjudul Manusia Sempurna, nyanyiannya bersama dengan Ayai Illusi.
Dalam masa yang sama, dia turut menyampaikan lagu Ada JalanNya bersama dengan pasangan duetnya menerusi program Duo Star, Kaka Azraff pada taun lalu.
Bagi pelantun lagu Bila Aku Jatuh Cinta itu, dia turut mahu mempelajari agama Islam dengan lebih mendalam serta mendekatkan dirinya kepada Yang Maha Pencipta.
“Kawan-kawan dah tahu saya tulis lagu dan perlahan-lahan lagu saya ke arah yang baik. Kita pun semakin berusia, makin belajar.
“Saya nak tunjuk kepada semua orang, kalau Awi Rafael pun nak mempelajari lebih tentang agama, Insya-Allah, kawan-kawan yang muda pun akan turut serta,” tambahnya lagi.
Bermula 31 Mac ini, Awi bakal berentap bersama beberapa lagi selebriti lain bagi program Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV) di saluran Astro Oasis dan Maya HD.
Sebagai peserta yang muda, Awi merupakan antara wakil yang akan menyampaikan lagu berunsur Islamik tetapi dalam masa yang sama turut berunsur moden.
“Saya sangat teruja apabila pihak Astro menawarkan untuk sertai program GGV musim kali ini.
“Program ini sesuatu inisitif yang baru untuk anak-anak muda mendengar lagu ketuhanan versi moden,” ujarnya.
Pada 18 Mac lalu, Awi telah melangsungkan majlis pertunangannya bersama dengan pilihan hatinya iaitu pelakon Atikah Suhaimie.
Mereka dikatakan bakal mendirikan rumah tangga pada 17 Mac tahun depan dan mereka masing-masing berasal dari negara Kota Singa, Singapura. – MYNEWSHUB.CC/AH