JAGUH berbasikal negara, Mohd. Azizulhasni Awang dan ratu terjun, Cheong Jun Hoong dinobatkan selaku Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan di majlis Anugerah Sukan Kebangsaan 2017, yang berlangsung di ibu negara malam Selasa.
Kejayaan merangkul kejuaraan dunia dalam acara keirin pada tahun lalu menyaksikan Azizulhasni menjadi pilihan juri untuk diberikan pengiktirafan itu dengan mengetepikan cabaran tujuh calon lain yang turut disenarai pendek untuk anugerah itu.
Selain beliau, Mohd. Syarul Azman Mahen (bina badan), Muhammad Hakimi Ismail (olahraga), Gavin Kyle Green (golf) Mohd. Fitri Saari (hoki) Mohamad Rafiq Ismail (boling), Wong Weng Son (Wusyu) dan Khairul Hafiz Jantan (olahraga) turut berada dalam senarai.
Kejayaan Jun Hoong meraih pingat emas acara terjun 10 meter platform pada Kejuaraan Dunia di Budapest, Hungary menjadikannya calon terbaik untuk diangkat sebagai Olahrawagati Kebangsaan.
Beliau mengatasi lima calon lain iaitu S. Sivasangari (skuasy), Koi Sie Yan (gimrama), Fatehah Mustapa (berbasikal), Emma Firyani Saroji (boling padang) dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (boling).
Kejayaan itu menyaksikan Azizulhasni dan Jun Hoong masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000, piala iringan, sijil serta piala pusingan.
Persatuan yang diwakili mereka turut diberikan sumbangan sebanyak RM2,000. – MYNEWSHUB.CC