PADA usia 30 tahun pasti ia akan menjadi usia yang paling ideal bagi seorang lelaki untuk mendirikan rumah tangga. Kalau cukup bersedia, tapi calonnya pula tiada, susah juga.
Bagi penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini sering diajukan soalan berkenaan perkahwinan sehingga membuatkan dia buntu untuk menjawab setiap persoalan yang diterima.
Selepas bergelar juara pada Anugerah Juala Lagu (AJL) ke-32 yang lalu, jadual kerja penyanyi lagu Jampi itu semakin padat sehingga dia tiada masa untuk diri sendiri.
Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, dia sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga jika jodohnya sudah sampai.
“Bagaimanapun, saya sedar tidak semua wanita boleh terima saya yang datang dengan pakej sibuk bekerja ini. Namun, jika ada yang sudi, saya dengan hati terbuka sedia memikirkannya dengan lebih jauh.
“Tapi apakah mereka (wanita) boleh faham cara kerja saya?” katanya dipetik daripada BH Online.
Jika kebanyakan individu pasti akan berasa tidak selesa sekiranya sering diajukan soalan tentang perkahwinan, tetapi sebaliknya bagi Hael.
Hal ini disebabkan dia semakin gembira dengan kehidupannya kini serta selesa untuk membesarkan anak angkatnya, Helena.
“Helena banyak memberi semangat dalam diri dan hidup saya. Dulu, saya bagai tiada arah tujuan. Pernah pada suatu tahap, saya tiada wang.
“Kehadiran anak ini membuatkan saya jadi lebih bertanggungjawab. Saya bekerja keras untuk dirinya dan hanya fikir mengenai Helena. Sekarang, Alhamdulillah, tanpa diduga rezeki masuk satu persatu,” tambahnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Hael bakal keluar dengan single baharunya yang berjudul Haram.
Pada AJL32 yang lalu, Hael dan Ezra Kong selaku komposer lagu Jampi telah berjaya merangkul trofi Juara Lagu serta membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 berserta baucer beli belah CJ Wow Shop. – MYNEWHSUB.CC/AH