BESUT – Setelah pelancaran projek mega Gerbang Pelancongan Antarabangsa Terengganu bernilai RM250 juta pada 16 April tahun lepas, penduduk Besut sekali lagi mendapat manfaat daripada kerajaan pusat menerusi projek naik taraf kemudahan infrastruktur di bandar Jerteh bernilai RM500 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata peruntukan yang telah diluluskan itu bakal menjadikan bandar Jerteh sebagai pusat ekonomi dan tumpuan orang ramai termasuk penduduk dari Kelantan.
“Melalui projek ini, penduduk di Hulu Besut dan Jerteh khususnya akan menikmati kemudahan jalan raya yang selesa apabila kemudahan tersebut dinaiktaraf bermula dari jalan FT189 di Kampung Pasir Akar sehingga ke jalan T159 di Jalan Pandak dan projek tersebut akan bermula Mei ini.
“Jambatan Jerteh pula akan dinaiktaraf daripada dua lorong kepada empat lorong dan kita akan membesarkan bandar ini dengan meningkatkan kemudahan asas sebagai usaha menjadikan Jerteh sebagai salah satu bandar terbesar di Terengganu,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Tapak Universiti P. Ramlee di Taman Ilmu di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Anggota Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, Rektor Universiti P. Ramlee, Prof Datuk Ir Dr Mohd Rizon Johari dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.
Tambah Ahmad Razif, dengan projek tersebut, bandar Jerteh akan bertambah maju seiring dengan kebanjiran ribuan pelajar di Taman Ilmu yang pastinya akan meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk Terengganu dan Besut khususnya.
“Nanti bila kita sudah jadi bandar pesat, orang Kota Bharu yang akan datang ke Besut, bukan orang Besut yang pergi ke sana. Pelbagai kemudahan sudah tersedia seperti Jerteh Souq dan Taman Ilmu sesuai sebagai pusat ulul albab yang Insya Allah dapat kita realisasikan.
“Dengan pertambahan jumlah penuntut yang ramai apabila Universiti P. Ramlee siap sepenuhya nanti, mereka sudah tentu akan memerlukan rumah sewa serta keperluan asas yang lain… maka lebih banyak peluang ekonomi serta pekerjaan dapat diwujudkan di sekitar kawasan ini,” katanya. – BERNAMA