TINDAKAN seorang bapa yang mengiklankan anak perempuannya yang berusia empat tahun untuk tujuan pelacuran di Internet akhirnya membawa padah apabila dia dihukum penjara 60 tahun.
Houston Chronicle melaporkan, Andrew Turley, 30, dihukum penjara selepas di dapati bersalah atas tuduhan memperdagang kanak-kanak dan menggalakkan pelacuran seseorang di bawah usia 18 tahun.
Dia mengiklankan anaknya itu di laman sesawang Craigslist pada 2015 dengan tajuk ‘main-mainlah dengan anak perempuan ayah’.
Pejabat Peguam Daerah, Harris berkata, Turley ditahan selepas polis memerangkapnya dengan menyamar sebagai ‘pelanggan’ malah dalam satu e-mel, tertuduh memberitahu dia akan memberi dadah kepada anaknya supaya mangsa tidur sepanjang pertemuan itu nanti.
Turley meletakkan harga AS$1,000 (RM3,900) untuk sesi dua jam bersama anaknya, malah mengaku anaknya terlalu kecil untuk seks penuh tetapi boleh melakukan sebarang ‘aktiviti lain’.
Seorang anggota polis yang menyamar menemui Turley sebelum menangkap lelaki itu.
“Dia membayar wang kepada Turley yang membawanya ke satu bilik di mana kanak-kanak terbabit tidur seolah-olah diberikan ubat penenang,” kata pejabat peguam daerah.
Sementara itu Penolong Pendakwa Daerah, Stewanna Miskell berkata, dia amat terkesan dengan kes itu.
“Bapa sepatutnya melindungi, bukan memakan anak sendiri.
“Mujur juri memahami betapa pentingnya memastikan dia tidak lagi bercampur dengan masyarakat kita,” katanya. – Daily Mail/myMetro Online