IPOH – Wanita Gerakan berpandangan jika pilihan raya umum ke-14 (PRU14) diadakan pada bulan Ramadan ini ia akan menjadi pilihan raya yang bebas daripada fitnah, tohmahan dan caci-maki.
Ketuanya Datuk Tan Lian Hoe berkata parti itu juga tidak mempunyai masalah sekiranya PRU diadakan pada bulan berkenaan kerana sekalipun ramai yang berpuasa terbukti ibadat itu tidak mengganggu perjalanan pilihan raya berdasarkan pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
“Saya ingat ia lebih aman sebab waktu pilihan raya adalah untuk kita memilih pemimpin yang berkaliber, pemimpin yang berintegriti tinggi dan bukan sewaktu kempen untuk mencaci-maki sesuatu parti atau calon,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina di Pusat Aktiviti Warga Emas di Pusat Transformasi Bandar, di sini hari ini.
Beliau juga menolak tanggapan PRU14 pada bulan Ramadan akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional.
“Apa yang penting, rakyat hanya mahu calon yang bertanding boleh membantu mereka dan bukan seorang yang hanya pandai menabur janji tetapi janji tidak dikotakan,” katanya.
Sementara itu, Tan berharap isu melibatkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menimbulkan kemarahan masyarakat Cina baru-baru ini dapat diselesaikan secara dalaman oleh UMNO sendiri.
Ini kerana katanya perkara itu membabitkan sensitiviti kaum.
Baru-baru ini, tindakan Mohamed Nazri mengenakan baju hitam pada sambutan Tahun Baharu Cina 2018 di Amanjaya Mall, Kedah mencetuskan kontroversi kerana didakwa sengaja melanggar pantang larang kaum Cina.
Menteri itu juga turut mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menyinggung perasaan kaum Cina di negara ini apabila mengulas tentang hartawan Robert Kuok yang didakwa oleh seorang penulis blog sebagai membiayai pelbagai parti politik untuk menggulingkan kerajaan. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…