HAVANA – Cuba pada Rabu telah melarang bekas Presiden Colombia, Andres Pastrana, dan bekas Presiden Bolivia, Jorge Quiroga, yang dijadualkan menerima Oswaldo Paya Prize bagi mengiktiraf sumbangan mereka dalam mempertahankan demokrasi.
Anugerah itu dinamakan sempena seorang aktivis politik pembangkang Cuba, Oswaldo Paya, yang telah meninggal dunia pada 2012.
“Ia merupakan satu keputusan yang dibuat secara sembarangan dan tanpa ada sedikitpun rasa hormat,” kata Rosa Maria Paya, Pengarah Latin American Network of Young People for Democracy yang juga anak perempuan mendiang, di Lapangan Terbang Antarabangsa Jose Marti, Havana.
Kedua-dua bekas presiden telah melakukan perjalanan dari Bogota ke Havana sebelum mereka ditahan selama dua jam di lapangan terbang itu oleh pihak berkuasa imigresen tanpa dibenarkan memasuki Cuba secara rasmi.
Mereka kemudian dihantar pulang ke Bogota dengan penerbangan Avianca Airlines yang berlepas pada 3.50 petang, kata Rosa Maria sambil menambah bahawa pihak berkuasa Cuba gagal memberikan sebarang penjelasan terhadap apa yang beliau sifatkan sebagai satu “penculikan” ke atas kedua-dua bekas pemimpin itu.
Sejurus selepas mendarat di Havana, Quiroga dan Pastrana, menerusi akaun Twitter masing-masing, telah mengutuk penahanan mereka di pejabat imigresen Cuba kedua-duanya dihantar pulang.
Sementara itu, Rosa Maria berkata majlis pengurniaan anugerah itu akan tetap berlangsung pada Khamis di kediaman keluarganya seperti yang dirancang meskipun tanpa kehadiran Pastrana dan Quiroga. – BERNAMA