SETIAP selebriti pasti mahu lakukan kelainan dalam setiap lakonan mereka, termasuk juga pelakon Zara Zya yang kini sudah mengubah penampilan dirinya sejak tahun lalu.
Menurut Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 33, perubahan yang dilakukannya itu merupakan atas dasar kerja sahaja tetapi ada juga segelintir yang tidak memahami niatnya itu.
“Sebelum ini penonton melihat penampilan saya bertudung dan berambut hitam dalam semua drama lakonan saya.
“Cuma kali ini saya nak buat kelainan dengan membuat sedikit perubahan. Pertama kalinya, saya mewarnakan rambut perang untuk telenovela terbaru,” katanya dipetik daripada mStar Online.
Tambah pelakon drama bersiri Isteri Tuan Ihsan itu, dia ada memuat naik beberapa gamabrnya dengan penampilan baharu di akaun Instagram dengan meletakkan caption tentang perubahan imejnya.
Tapi sayang… Dia mendapati ada segelintir peminat yang tidak dapat menerima perubahan yang dilakukannya itu.
Kini, Zara bakal muncul dengan drama baharu lakonanya berjudul Mona Lisa yang mana merupakan adaptasi daripada drama popular Koream, The Women’s Room.
BACA: Zara Zya Teruk ‘Diserang’ Peminat K-Pop?
Bagaimanapun, aktor kelahiran Lenggong, Perak itu telah bersedia jika lakonannya akan dikritik selepas satu insiden yang mana dia telah dikecam oleh peminat artis Korea Selatan disebabkan pertanyaan terbukanya tentang keistimewaan selebriti K-Pop.
“Saya tahu dan sudah bersedia dengan sebarang kritikan apabila telenovela itu mula ditayangkan nanti.
“Sebelum ini pun saya pernah dikecam disebabkan salah faham. Jadi, saya dah tak kisah bab kecaman,” tambahnya lagi.
Drama arahan Shahrul Ezad Mohameddin itu akan bersiaran pada 20 Mac ini setiap Isnin ingga Jumaat jam 6 petang serta turut dibintangi oleh Nazim Othman, Hafreez Adam, Mona Allen dan ramai lagi.
Dalam masa yang sama, Zara turut bakal membuat kejutan dengan melancarkan single pertamanya berjudul Hilang tidak lama lagi.
“Alhamdulillah, ni salah satu kejutan untuk peminat saya. Insya-Allah tidak lama lagi saya akan mengeluarkan single pertama berjudul Hilang.
“Mesti akan ada yang tak suka tapi tak kisah lah sebab saya tahu akan tetap ada orang yang boleh terima,” katanya lagi.
Siapa sangka, dalam diam selain mempunyai bakat dalam lakonan, Zara juga bakal bergelar penyanyi yang akan turut mewarnai industri hiburan tanah air. -MYNEWSHUB.CC/ AH