PRESIDEN China, Xi Jinping mengukuhkan dan melanjutkan kedudukannya sebagai Presiden apabila dewan meluluskan pelantikan semula Xi sebagai presiden tanpa had penggal.
Xi mula memegang jawatan presiden pada 14 Mac, 2013.
Semua 2,970 ahli Kongres Rakyat Kebangsaan meluluskan pelantikan Xi. Pada masa sama, sekutu rapat Xi, Wang Qishan dilantik sebagai naib presiden, yang dinaikkan taraf dan bukan lagi satu jawatan istiadat.
Xi, 64 tahun mengekalkan kedudukan sebagai presiden yang lebih kuat melalui pelantikan penyokong kuatnya Wang yang berusia lebih tua, 69 tahun, mengurangkan kemungkinan dicabar orang nombor duanya.
Beliau juga meletakkan orang kepercayaan dalam barisan kepimpinan, bagi mendapatkan sokongan dan kerjasama penuh menjalankan dasarnya.
Xi kini dianggap pemimpin China paling berkuasa selepas Mao Zedong, pada masa China sedang pantas bangkit dan meluaskan kuasa dan pengaruh di seluruh dunia.
China kini telah mula mengatasi Amerika Syarikat dan negara-negara industri lain dalam sektor ekonomi dan semakin maju dalam industri pertahanan.
Melalui program-program ekonomi dan geopolitik, China melabur berbilion dolar dari Afrika ke Asia-Pasifik dan sedang menjalankan projek pembangunan global dikenali “One Belt, One Road” menghubungkan bandar-bandar penting dunia melalui daratan dan jalan laut.
Di Laut China Selatan, Beijing sedang mengukuhkan kedudukan melalui pembinaan pulau bagi menempatkan tentera untuk memenuhi keperluan jangka panjang menguasai wilayah laut itu.
Di sepanjang pesisir Lautan Hindi, China membina pelabuhan dan terlibat dalam pelaburan strategik dari Myanmar ke Sri Lanka hingga ke Djibouti di timur Afrika.
Dalam meningkatkan kedudukan China sebagai kuasa utama dunia, Beijing juga telah berjaya mengantarabangsakan mata wang renminbi, yang kini menjadi salah satu mata wang rujukan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
Di Moscow, ibu negara sekutu rapat China, Vladimir Putin menang dalam pilihan raya dengan peratus undi lebih besar, sebanyak 76 peratus, memberikannya mandat untuk kekal sebagai presiden untuk enam tahun lagi hingga 2024.
Jumlah ini ialah peningkatan besar berbanding pemilihan presiden sebelum ini pada 2012, apabila Putin memperolehi 64 peratus undi.
Pilihan raya presiden ini berlangsung dalam keadaan Rusia berdepan pelbagai tekanan dari Barat, yang menyokong pihak pro-Barat di negara-negara jiran Rusia dan memberi bantuan kepada kumpulan liberal dalam Rusia sendiri.
Beberapa hari sebelum pilihan raya, Britain mendakwa Rusia bertanggungjawab langsung meracun seorang bekas perisik Rusia yang tinggal di Britain.
Pemimpin berusia 65 tahun ini kelihatan lebih yakin dalam pilihan raya presiden kali ini, dengan pasukannya mensasarkan peratus undi 70 peratus, jumlah yang berjaya dicapai.
Putin semakin popular walaupun kempen musuh politiknya di dalam negara cuba memburukkan beliau dengan label diktator.
Beberapa tahun kebelakangan ini, Putin mendapani gelombang liberal yang kuat di dalam negara, terutamanya golongan homoseksual dan pelaku seks songsang lain atau LGBT yang mendapat sokongan kuat daripada Washington dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Barat.
Putin bertindak balas dengan peraturan-peraturan baharu seperti mengharamkan promosi LGBT dan menyenaraikan media asing sebagai “agen asing.”
Rusia meluluskan undang-undang mengharamkan propaganda LGBT pada 30 Jun, 2013, mengundang penentangan kuat daripada Barat.
Pada 25 November, 2017, Putin menandatangani kelulusan undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa menyenaraikan media asing sebagai agen asing, satu tindak balas kepada tekanan AS ke atas media Rusia.
Selepas kejatuhan komunisme dan masa kebangkitan Putin, hubungan pemerintah dengan gereja Kristian Ortodoks mengukuh, dan kemasukan nilai liberal Barat seperti LGBT kuat ditentang.
Pemimpin popular Rusia ini juga melaksanakan dasar luar yang agresif melawan Barat di seluruh dunia terutama di Eropah Timur dan Asia Barat.
Rusia menakluk Semenanjung Crimea di Ukraine pada Mac 2014, melemahkan negara sekutu kuat Barat itu dan melonjakkan populariti Putin.
Di Asia Barat, Rusia berjaya membantu sekutunya di Syria, Bashar al-Assad mengekalkan pemerintahan selepas ditentang secara ketenteraan oleh pakatan pemberontak dan kuasa-kuasa asing terdiri daripada negara-negara Arab dan kuasa Barat.
Rusia kini bekerjasama rapat dengan Turki dan Iran dalam mengatur tindakan di Syria, menandakan kejayaan pakatan diketuai Rusia itu melawan rancangan AS dan sekutu.
Kejayaan Xi menamatkan had penggal pemerintahan sebagai presiden dan kejayaan Putin kekal untuk sepenggal lagi membimbangkan AS dan Barat yang semakin tergugat oleh kuasa dan pengaruh China dan Rusia yang meningkat.
Pada masa AS dipimpin oleh Presiden Donald Trump yang dibimbangi menjejaskan kedudukan AS sebagai kuasa ulung dunia, pengukuhan kedudukan Xi dan Putin memberi tanda semakin membimbangkan pada Washington.
Dari sudut imbangan kuasa global, peningkatan China dan Rusia boleh membantu negara-negara lebih kecil menjaga kepentingan dengan bekerjasama dengan lebih daripada satu kuasa besar.
Tetapi ini bukan tanda yang positif untuk semua, kerana kuasa berlebihan seperti yang disaksikan pada China di Laut China Selatan dan beberapa negara dekat Lautan Hindi menunjukkan ancaman terhadap keselamatan nasional negara terbabit. – Mynewshub.cc/HZ