NAMA penyanyi, Nabila Razali mula meniti di bibir peminat sejak gimiknya untuk pelancaran video muzik Pematah Hati menjadi tular menerusi media sosial.
Meskipun lagu berkenaan mendapat penerimaan yang positif dan meraih sambutan luar biasa namun terdapat juga segelintir pihak yang mempertikaikan kebolehan Nabila itu menyanyi secara langsung.
Rata-rata antara mereka berpendapat Nabila sebenarnya tidak mampu menyanyi secara langsung dengan baik.
Bagaimanapun, Nabila mengakui tidak terasa hati dengan kejujuran yang dibuat oleh segelintir netizen itu sebaliknya mengambil ia sebagai contoh atau pembelajaran yang positif.
Tujuan Nabila berkata demikian kerana menyedari bahawa memuaskan semua pihak bukanlah suatu hal yang mudah.
“Saya rasa semua orang ada kebolehan untuk menyanyi. Dan, saya juga tahu dari dulu lagi orang cakap saya tak boleh nyanyi secara langsung.
“Mungkin itu kelemahan saya, tapi saya juga cuba dengan sedaya upaya saya,” katanya dipetik Sinar Online.
Meskipun menerima kritikan dan kecaman, Nabila mengakui tetap menerima semua perkara itu dengan hati terbuka selain enggan mengambil pusing terhadap tohmahan negatif dilemparkan kepadanya
“Saya hanya ambil setiap kritikan daripada sudut positif. Tapi, saya enggan mengambil peduli jika kritikan tersebut berniat untuk menjatuhkan semangat sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, sumber melaporkan Nabila kini dalam proses mencari dan menunggu material bagi daripada beberapa komposer bagi menghasilkan single terbaru. – MYNEWSHUB.CC/AM