KUALA LUMPUR – Belum sempat pengamal media membuka mulut bertanyakan soal tarikh pilihan raya umum, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara berseloroh bertanyakan soalan demikian terlebih dahulu kepada mereka.
Interaksi itu berlaku sebaik sahaja selesai majlis istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Parlimen ke-13 oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Ketika itu Najib yang berjalan keluar daripada Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor bertanya kepada pengamal media: “Bila ‘election’ (pilihan raya)?”
Sapaan spontan Najib itu dibuat sebaik sahaja beliau lihat sekumpulan pengamal media yang berusaha menghampirinya untuk bertanyakan sesuatu sebelum pemimpin negara itu beredar menaiki kenderaannya.
Pertanyaan spontan itu disambut dengan gelak ketawa para pengamal media.
Sesi Parlimen kali ini akan bersidang selama 20 hari dan akan menjadi sesi terakhir sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) diadakan. – BERNAMA