WASHINGTON – Seorang pelakon filem lucah yang sebelum ini mengaku menjalinkan hubungan dengan Presiden Donald Trump mendakwa beliau diugut supaya berdiam diri dan tidak membuat sebarang pendedahan berhubung perkara itu pada 2011.
Stormy Daniels atau nama sebenarnya Stephanie Clifford, berkata ketika itu, beliau berada di tempat letak kereta bersama anak perempuannya apabila dihampiri seorang lelaki tidak dikenali.
“Saya sedang dalam perjalanan ke kelas kecergasan apabila didatangi seorang lelaki yang mengarahkan saya supaya meninggalkan Trump dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Tinggalkan Trump. Lupakan kisah itu,” kata Daniels memetik ugutan lelaki berkenaan ketika diwawancara dalam rancangan ‘60 Minutes’ terbitan CBS News yang disiarkan, semalam.
Daniels mendakwa, lelaki itu turut mengugut untuk melakukan sesuatu ke atas dirinya.
“Anda memiliki anak yang comel. Adalah sangat menyedihkan jika sesuatu berlaku ke atas ibunya,” katanya lagi, memetik ugutan lelaki itu.
Daniels pada 6 Mac lalu memfailkan saman ke atas presiden berkenaan dan menyebut, Trump tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian untuk menyuruh beliau berdiam diri mengenai hubungan intim mereka. – Reuters/BH ONLINE