KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) berjaya mengesan dan menangkis satu insiden keselamatan siber melibatkan percubaan memindahkan dana secara haram menggunakan sistem mesej SWIFT palsu pada 27 Mac lalu.
BNM dalam satu kenyataan media berkata, semua transaksi yang cuba dijalankan itu berjaya disekat menerusi tindakan pantas BNM dengan kerjasama SWIFT, bank-bank pusat dan institusi kewangan lain.
“BNM tidak mengalami apa-apa kerugian kewangan berikutan insiden ini. Malah, sistem pembayaran dan penyelesaian lain yang dikendalikan Bank juga tidak terjejas sama sekali.
“BNM sedang menjalankan siasatan secara terperinci mengenai insiden ini dengan mendapat kerjasama agensi penguatkuasaan tempatan dan antarabangsa,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, semua langkah kawalan risiko BNM setakat ini terbukti berkesan menghalang insiden seumpama itu daripada berulang.
Bagaimanapun, BNM tetap mengambil langkah-langkah keselamatan tambahan untuk melindungi pihak berkepentingan.
Kata kenyataan itu, BNM akan terus berada dalam keadaan berjaga-jaga dan senantiasa bersiap sedia kerana insiden pada masa hadapan mungkin melibatkan perancangan dan pendekatan yang lebih sofistikated.
“Institusi kewangan juga dinasihati supaya senantiasa berwaspada dalam menghadapi risiko keselamatan siber dan terus mengukuhkan sistem keselamatan masing-masing bagi menghadapi ancaman pencerobohan seperti ini.
“BNM ingin meyakinkan orang ramai bahawa sistem pembayaran dan penyelesaian kita kekal tidak terjejas dan terus beroperasi dalam keadaan baik dan selamat,” kata kenyataan itu. – MYNEWSHUB.CC