Saturday, January 18, 2025

Creating liberating content

Mangsa Banjir Di Kelantan...

KOTA BHARU - Gelombang pertama banjir di Kelantan bertambah buruk apabila 1,729 mangsa...

Jemaah Wanita Meninggal Dunia...

PETALING JAYA – Seorang jemaah wanita yang baru sahaja pulang dari tanah suci...

Pameran Dedah Hubungan Cina...

IPOH - Pameran Cina Islam Pangkor-Sanya di Perpustakaan Negeri Perak di sini mendedahkan...

Punca Jangkitan Masih Belum...

GUA MUSANG - Punca sebenar yang menyebabkan orang asli daripada suku kaum Bateq...

Bront Belum Terfikir Untuk Hijrah Ke Luar Negara

BUKAN mudah bagi artis Malaysia untuk menembusi industri hiburan antarabangsa, namun ianya bukanlah sesuatu yang mustahil.

Hal ini telah dibuktikan oleh beberapa orang pelakon dan penyanyi kelahiran Malaysia yang telah mengecapi kemasyhuran di pentas luar negara seperti Yuna, Ashraf Sinclair, Mizz Nina dan Dato’ Seri Siti Nurhaliza.

Baru-baru ini pula, seorang lagi artis tempatan juga sudah mula dikenali di Indonesia selepas terlibat dalam tiga filem di negara itu, iaitu Bront Palarae.

Sambutan baik terhadap lakonannya di negara republik itu dilihat bagai telah mencukupkan syarat untuknya berhijrah ke sana bagi mengembangkan karier seninya.

Bagaimanapun jelas Bront, terlalu banyak benda untuk difikirkan sebelum berpindah dan tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru sebelum melebarkan sayap ke Jakarta.

“Peluang bekerja dengan produksi asing atau luar negara membuka banyak manfaat. Impak yang paling ketara adalah ilmu diperoleh, pengalaman dan persahabatan terjalin.

“Daripada sudut pasaran pula, sebelum saya tembusi Indonesia, sudah ada penonton dari negara itu yang mencari filem lakonan saya.

“Jadi, soal nak berhijrah, saya belum fikirkan… Isteri mencadangkan kami berpindah ke sana, tapi ia bukan perkara mudah. Banyak perkara perlu saya fikirkan,” katanya memetik portal BH Online.

Bront kini menjadi perhatian peminat di republik itu selepas membintangi beberapa filem pecah panggung di negara itu iaitu Pengabdi Setan, Ayat Ayat Cinta 2 dan My Stupid Boss.

Malah, Bront turut mendedahkan bahawa dia bakal terbabit dalam sebuah lagi projek penggambaran filem luar negara yang akan dimulakan pertengahan tahun ini.

Bront bagaimanapun masih belum bersedia untuk berkongsi mengenai projek berkenaan kepada umum buat masa ini.


Dalam pada itu, Bront berkongsi bahawa dia turut terlibat membintangi filem berbentuk antologi seram Asia terbitan HBO Asia yang membabitkan pengarah dari negara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Korea.

“Projek berjudul Folklore itu turut membabitkan Nabila Huda, Redza Minhat dan beberapa pelakon lain,” katanya.

Selain projek berkenaan, Bront berkata bahawa dia juga bakal tampil dalam filem bergenre techno thriller arahan Zulkarnain Azhar berjudul Proksi.

Ujar Bront, dia sibuk dengan penggambaran filem berkenaan yang 50 peratus daripadanya dilakukan di Thailand sejak awal tahun ini di mana dia membawakan watak sebagai seorang penggodam siber.

‘”Saya memegang watak sebagai penggodam yang disiasat bagi membantu mengesan suspek utama kes keganasan siber.

“Antara pelakon terbabit termasuk Datuk Rosyam Nor, Faizal Hussein, Remy Ishak, Ashraf Sinclair, Sangeeta Krishnasamy dan Susan Lancaster,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Bront menjelaskan bahawa dia teruja menanti tayangan filem yang diterbitkannya berjudul One Two Jaga yang diarahkan oleh Nam Ron, tidak lama lagi. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Kategori