AKIBAT memakai alat solek murah, seorang kanak-kanak perempuan terpaksa menanggung kesakitan radang kulit yang teruk di Georgetown, Illnois, Amerika Syarikat (AS).
Kylie Craven, telah membelikan anaknya, Lydia, 3, satu set alat solek kanak-kanak kerana menganggapnya selamat setelah melihat jaminan ‘bebas toksik dan tidak merbahaya’ pada kotak tersebut.
Tidak sampai sehari selepas memakai pemerah pipi, gincu dan glos bibir pada wajahnya, Lydia terpaksa dikejarkan ke hospital berdekatan kerana matanya tiba-tiba membengkak dan terkatup, serta tumbuh ruam-ruam merah di keseluruhan badannya.
“Dalam masa 24 jam anak kami berubah daripada 100% sihat kepada terpaksa terlantar di hospital serta tidak mampu untuk makan secara normal akibat kulit di sekitar bibirnya melepuh dan menggelupas teruk,” kata Kylie.
Mujurlah keadaan Lydia stabil dan keradangan kulitnya beransur-ansur pulih sepenuhnya. Malah, kanak-kanak itu juga dibenarkan untuk pulang ke rumah setelah beberapa hari duduk di dalam wad.
“Kami bernasib baik kerana tiada apa-apa komplikasi yang lebih serius berlaku kepada Lydia.
“Sila pantau keselamatan alatan solek kanak-kanak yang dibelikan untuk anak anda, kerana apa yang berlaku kepada anak saya itu amat tidak dijangka sama sekali,” tambah ibunya lagi.
Seminggu selepas insiden perit itu, Lydia kini semakin sihat walaupun masih mengalami keradangan kulit yang tidak serius.
Buat ibu-ibu, jangan ghairah sangat memberi anak-anak perempuan anda set alat solek, terutamanya set mekap tiruan atau yang terlalu murah kerana kualiti dan keselamatannya tidak terjamin! – MYNEWSHUB.CC