MENJELANG Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekali lagi diputar belit pembangkang yang kini jelas tiada modal untuk dijadikan bahan politik mereka.
Syarikat pelaburan strategik kerajaan Malaysia itu sengaja dijadikan isu semata mata demi menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sahaja selain bagi menutup skandal pembangkang.
Tuduhan awal Pengerusi Pakatan Harapan (yang belum sah didaftarkan), Tun Dr. Mahathir Mohamad konon ada RM42 bilion hilang di 1MDB pun sudah tidak ulang dan disebut lagi, malah angkanya pun boleh berubah-ubah.
Ini bukti jelas, tuduhan hilang duit itu hanyalah cerita bohong semata mata. Samalah juga dengan cerita berkaitan Jho Low ini. Banyak yang sudah dijawab, tetapi diulang semula berkali-kali oleh pembangkang menjelang PRU ini.
Berdasarkan tujuh hujah ini, Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho, 36, ahli perniagaan berasal dari Pulau Pinang itu sebenarnya langsung tidak ada kaitan dengan 1MDB tetapi cuba dimomok songlap dana syarikat ini.
1. Laporan PAC sahkan tiada wang 1MDB yang hilang
Ini satu tuduhan yang digunakan berulang kali terutamanya dari Mahathir konon ada RM42 bilion dana dari dari 1MDB hilang tanpa dikesan. Ia tidak benar kerana Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan laporan Jabatan Audit Negara (JAN) mendapati tidak ada dana 1MDB yang hilang.
PAC dianggotai wakil rakyat BN dan pembangkang memperlihatkan semua anggotanya berpuas hati bahawa tiada wang hilang dari 1MDB termasuk Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua. Selesai prosiding PAC, Tony cuba keruh keadaan dengan buat pelbagai tuduhan ke atas 1MDB secara terbuka bukan ketika dalam prosiding.
Jadi apabila tiada duit 1MDB yang hilang, ini bermakna tuduhan jahat bahawa Jho Low pernah songlap dengan guna duit dicuri daripada 1MDB untuk beli kapal terbang, lukisan mewah, kapal layar adalah bohong semuanya.
2. Kapal terbang, kapal layar dan lukisan tidak dibeli hasil duit 1MDB
Kalau lupa, perlu diingatkan kembali bahawa segala kapal dan aset lain seperti lukisan yang didakwa konon pernah dibeli oleh Jho Low sebetulnya tidak dibeli dengan duit daripada 1MDB. Kalau pembelian itu berlaku, ia adalah transaksi antara ahli perniagaan itu sendiri dengan firma asing, Aabar dan IPIC; bukan pun dengan 1MDB.
Aset berkenaan malahan hanya dibeli selepas 1MDB selesai membayar Aabar dengan sejumlah wang kepada Pengerusi Aabar Abu Dhabi, Khadeem Al-Qubasi dan CEO Aabar, Mohd Husseiny sendiri.
Tuduhan jahat bahawa aset itu dibeli dengan duit 1MDB hanya dibuat oleh portal Sarawak Report berpangkalan di London dan agensi berita asing Wall Street Journal berpusat di Amerika Syarikat (AS) tanpa sebarang bukti yang kukuh bahkan kemudian terbukti artikel fitnah itu sebenarnya sengaja direka.
3. Isu IPIC dan Aabar pun belum lagi dalam prosiding pendakwaan
Difahamkan wang yang dibayar kepada Aabar masuk terus ke akaun Pengerusinya Khadeem Al-Qubasi dan CEOnya itu, kedua-dua mereka merupakan pengarah tunggal Aabar. Sehingga hari ini, tidak ada siapa pun telah memfailkan saman jenayah terhadap kedua-dua orang ini, sama ada di Abu Dhabi atau mana-mana sahaja.
Di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sendiri pun belum pernah ada pendakwaan kepada mereka ini, jadi duit siapa yang kena curi? Ia sebetulnya hanya cerita rekaan fitnah Sarawak Report semata-mata berdasarkan salinan dokumen bekas staf Saudi Petro, Xavier Justo yang dipenjarakan di Thailand kemudian diubah suai untuk jadi cerita bohong.
4. Jawapan di Parlimen, Jho Low tidak pernah kerja dengan 1MDB
Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan I dalam satu jawapan bertulis di Parlimen sudah menjawab dan menjelaskan bahawa Jho Low tidak pernah bekerja dengan syarikat pelaburan strategik negara itu dan tidak terlibat secara langsung dalam membuat sebarang keputusan syarikat berkenaan.
“Encik Low Thaek Jho tidak pernah bekerja di 1MDB dan semua keputusan dan urus niaga 1MDB dibuat oleh pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB,” kata Najib menerusi satu jawapan bertulis sebagai menjawab soalan daripada Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju, Datuk Dr. Tan Kee Kwong pada 16 Mac 2015.
5. Arul Kanda maklumkan Jho Low tidak ada kaitan dengan 1MDB
“Sebelum ia (1MDB) menjadi 1MDB, Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) telah ditubuhkan di mana pemegang sahamnya ialah Kerajaan Negeri Terengganu. Pada masa tersebut, Jho Low pernah dilantik sebagai penasihat kepada TIA,” kata Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
Selepas itu, beliau pernah berkata bahawa Jho Low telah pun meletakkan jawatan secara rasmi pada Mei 2009, sebelum saham TIA diambil alih oleh Kementerian Kewangan dan nama TIA kemudian ditukar kepada 1MDB.
“Jho Low tiada sebarang aktiviti di dalam syarikat ini, beliau bahkan tidak dibayar (gaji) oleh syarikat dan tidak diberikan apa-apa tugas pun untuk syarikat,” kata Arul Kanda yang dipetik media tempatan pada 26 Mac 2016.
6. Jawapan Husni bahawa Jho Low tiada kaitan pun dengan 1MDB
Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah juga sudah jawab berkaitan isu Jho Low dalam temubual menerusi program disiarkan stesen TV1 RTM pada Jun 2015. Beliau berkata bahawa ahli perniagaan itu tidak ada sebarang kaitan atau apa-apa kepentingan dengan pihak 1MDB.
“Jadi tidak timbul soal dana hilang dan ada dibayar kepada Jho Low’ tegas Ahmad Husni. Kena jelas, nama Jho Low tidak terlibat dalam mana-mana aliran berita. Nama individu ini hanya jadi sebutan pihak Sarawak Report, dan lebih lucu tanpa ada bukti atau fakta yang ada asas kukuh.”
7. Kenyataan rasmi Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun
Hujah ketujuh yang paling kukuh dan kuat ialah siasatan polis sentiasa tidak berpihak kepada mana-mana sekali gus mendapati tiada keterangan kukuh untuk mengaitkan Jho Low dengan keputusan dan urus niaga yang dibuat oleh syarikat 1MDB. Menurut Mohamad Fuzi, polis sudah siasat 1MDB berdasarkan dapatan dalam laporan PAC.
“Polis sudah menjalankan siasatan terhadap 1MDB berdasarkan kedapatan dalam Laporan PAC yang dibentangkan di Parlimen pada 7 April 2016. Bagaimana pun, sekiranya polis memperoleh sebarang bukti baharu terhadap Taek Jho, tindakan yang sewajarnya menurut undang-undang akan diambil,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata tindakan Jabatan Keadilan AS merampas kapal Equanimity di Bali, Indonesia yang konon didakwa dimiliki oleh Jho Low adalah satu tindakan perlucutan hak sivil di Mahkamah AS terhadap Jho Low dan bukan terhadap 1MDB. Cerita duit RM1 bilion kononnya ditemui dalam kapal itupun terbukti adalah cerita fitnah sahaja.
Kesimpulannya
Tujuh hujah ini jelas menyatakan bahawa Jho Low memang tiada kaitan langsung dengan pihak 1MDB. Diulangi sekali lagi, Jho Low tiada kaitan pun dengan 1MDB. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA