KUCHING – Semua pemandu bas di kawasan pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dikehendaki menggunakan buku log bagi memudahkan pemantauan keselamatan penumpang serta bas yang beroperasi merentasi sempadan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata buku log tersebut adalah untuk mendokumenkan rekod pemandu dan perjalanan bas, selain memastikan pertukaran pemandu setiap empat jam atau 300 kilometer.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan buku log pemandu BIMP-EAGA peringkat Sarawak di sini hari ini.
Nancy berkata semua perkhidmatan bas ekspres yang beroperasi di Sarawak diwajibkan menggunakan sistem buku log perjalanan semenjak tahun 1996 dan kini sistem ini diperluaskan lagi terhadap perkhidmatan bas ekspres menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei.
“Inisiatif menerusi kerjasama BIMP-EAGA itu diperkenalkan bukan sahaja sejajar dengan pertumbuhan sektor pengangkutan penumpang, khususnya antara negeri ini dengan Sabah, Brunei dan Indonesia, malah sebagai langkah mengatasi isu keselamatan bas ekspres lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan kemalangan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.
“Semoga usaha yang kita lakukan ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak usahasama menerusi perkongsian kepakaran antara Sarawak dan negara-negara ASEAN dalam memastikan perkhidmatan pengangkutan awam terus mampan, selamat serta maju ke hadapan seiring dengan perkembangan dunia masa kini,” katanya. -BERNAMA