MUSNAH… Kejadian kebakaran yang melibatkan tiga buah kedai termasuk sebuah stor butik barangan pengantin hangus dalam kebakaran di Pasar Ketereh malam tadi.
Stor barangan pengantin milik Detik Indah Bridal rosak teruk terutama di bahagian bumbung manakala dua lagi kedai iaitu kedai makan dan kedai gambar hangus dijilat api.
Kejadian yang berlaku jam 8.12 malam tadi bagaimanapun tidak mengalami kemalangan jiwa.
Lapor akhbar Berita Harian, pemilik butik, Nora Elira Mat Noor, 39, bergegas ke kedainya apabila menerima panggilan kebakaran tersebut semasa memekap pelanggannya di Limbat, Melor untuk majlis akad nikah.
“Sebaik tiba, saya lihat api sudah marak dan penduduk membantu mengeluarkan semua barangan pengantin saya.
“Kerosakan di stor tidak teruk kerana banyak peralatan sudah ditempatkan di rumah beberapa pengantin yang menempah untuk majlis pada cuti sekolah kali ini,” katanya.
Sementara itu, Pemilik kedai gambar bersebelahan Detik Indah Bridal, Ramli Jaafar, 50, berkata, beliau berada di dalam kedainya semasa kejadian dan menyedari kejadian tersebut selepas dimaklumkan jiran yang ternampak api dari tingkat dua kedai gambarnya.
Beliau berusaha memadamkan kebakaran dengan dua alat pemadam api namun gagal kerana api cepat marak.
Penguasa Bomba Zon Kota Bharu, Abu Hassan Mohd Nawi, berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan jam 8.12 malam.
Sebanyak empat buah jentera dengan 21 anggota bomba terlibat dalam usaha memadamkan kebakaran tersebut.
Turut membantu, 20 anggota Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Pasir Tumbuh, Ketereh dan Kota Bharu, lima anggota tentera serta lima anggota polis.
“Kami berjaya mengawal kebakaran jam 8.50 malam dan api padam sepenuhnya 40 minit kemudian iaitu jam 9.30 malam,” ujarnya.
Punca dan jumlah kerugian dalam kebakaran tersebut masih dalam siasatan. – MYNEWSHUB.CC/MIZE