BAYANGKAN ketika anda sedang memandu bersendirian, tiba-tiba muncul pula sesuatu ‘benda’ cuba melintasi secara laju di hadapan anda.
Sudah pasti ia bukan sahaja buatkan anda terkejut, malah mungkin mengigil ketakutan lebih-lebih lagi jika kejadian itu berlaku pada lewat malam.
Demikian kejadian pelik yang berlaku keatas seorang pemandu di Hong Kong pada 9 Februari baru-baru ini apabila kamera papan pemuka (dash cam) kenderaanya berjaya merakam entiti pelik berkenaan.
Tidak setakat itu, objek berkenaan turut dikatakan sebagai punca menyebabkan sebuah kenderaan lain terbabas sehingga merempuh sebatang pokok.
Menerusi rakaman video yang kini sedang heboh di laman sosial Weibo, pemandu terbabit dan pemandu teksi dihadapannya pada mulanya dilihat memandu seperti biasa sebelum keduanya melalui sebuah selekoh.
Sedang mereka memandu di selekoh berkenaan, secara tiba-tiba satu cahaya putih muncul dari arah tepi jalan dan dengan pantas ‘menerkam’ teksi tersebut.
Teksi itu kemudianya dilihat hilang kawalan sebelum terbabas merempuh sebatang pokok yang berada di tepi jalan.
Sebaik sahaja kemalangan itu berlaku, terdapat cahaya putih di dalam kenderaan terbabit yang seakan-akan ‘menyelinap’ masuk.
Video tersebut yang turut dimuat naik di YouTube oleh satu saluran bernama The Hidden Underbelly 2.0 telah menerima lebih daripada 80,000 tontonan.
Rata-rata netizen beranggapan insiden itu benar-benar berlaku lebih-lebih lagi pemandu teksi terbabit dipercayai tidak berada dalam keadaan mabuk mahupun mengantuk ketika memandu.
Bagaimanapun ada segelintir netizen beranggapan entiti putih itu adalah kesan grafik yang sengaja ditambah dan bukannya benar-benar ‘serangan syatan’.
“Teknik edit video yang agak kurang memuaskan, cubalah beri kesan yang lebih mantap jika mahu penonton benar-benar percaya,” kata seorang netizen. – MYNEWSHUB.CC