KUCHING China hari ini menyuarakan komitmennya dalam mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak khususnya dalam bidang pelancongan.
Perkara ini dinyatakan oleh Konsul Jeneral China di sini, Cheng Guangzhong dalam kunjungan hormatnya selama sejam ke atas Menteri Muda Pelancongan Sarawak Lee Kim Shin di pejabat kementerian berkenaan di Bangunan Baitul Makmur, di sini.
Kim Shin berkata perbincangannya dengan Cheng antara lain berkisar kepada usaha-usaha bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara Sarawak dan China khususnya dalam bidang pelancongan, pendidikan dan projek Satu Jalur Satu Jalan(OBOR).
“Saya juga berterima kasih kepada beliau kerana sudi untuk menjadi penceramah untuk seminar OBOR yang bakal dianjurkan kelak untuk berkongsi mengenai peluang dan cabaran dalam industri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perjumpaan itu.
Sementara itu Cheng yang baru-baru ini mengambil alih jawatan itu daripada pendahulunya Fu Jin Jun, berkata sebagai konsul jeneral yang baharu beliau akan melakukan yang terbaik bagi memupuk dan mengekalkan hubungan baik yang sedia terjalin antara China dan Sarawak. – BERNAMA