SELEPAS 12 tahun menanti kehadiran cahaya mata, akhirnya penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kini sedang menghitung hari untuk melahirkan puteri sulungnya bersama suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Bagaimanapun, Siti memberitahu bahawa dia memilih untuk melahirkan bayinya itu secara pembedahan caesarean dalam masa dua minggu akan datang.
“Menurut doktor di tempat Siti menjalani rawatan kesuburan, selain faktor usia Siti sendiri, bayi yang dikandung menggunakan kaedah ‘In Vitro Fertilization (IVF)’ biasanya dilahirkan secara pembedahan,” katanya dipetik daripada BH Online.
Dalam masa yang sama, penyanyi lagu Biarlah Rahsia itu juga memaklumkan bahawa kaedah bersalin secara pembedahan itu merupakan hasil perbincangan bersama dengan pakar perbidanan yang telah merawatnya sebelum ini.
“Bagaimanapun, ada juga kes sebegitu menyaksikan kelahiran secara normal. Siti ikut saja apa nasihat doktor, selain mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental. Apapun caranya, harapan Siti proses kelahiran dipermudahkan,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Siti juga baru sahaja muncul dengan single terbaharu yang diciptakan khas buat bayinya yang berjudul Comel Pipi Merah.
Sebagai suami, Datuk Seri Khalid merupakan individu yang paling teruja untuk menyambut kelahiran bayi sulungnya bersama dengan Siti dan ianya juga bakal menambahkan lagi bilangan ahli keluarga besar mereka.
“Suamilah insan paling teruja membuat persediaan, terutama dari segi hiasan bilik bayi. Lif pun sudah siap dan ia dibina bukanlah bagi kegunaan Siti saja, tetapi untuk orang lain juga seperti ibu serta ibu mertua,” katanya lagi.
Selain itu, tujuan utama mengapa penyanyi berkenaan memilik bulan Mac sebagai tarikh untuk dia melancarkaan single baharunya itu ialah bersempena dengan saat dirinya bakal menjadi seorang ibu.
“Sekurang-kurangnya, ada juga kenangan untuk Siti dan bayi pada kemudian hari. Ia juga ibarat serampang dua mata kerana lagu berkenaan diharap dapat mengubat rindu peminat sepanjang tempoh Siti berpantang nanti,” tambahnya lagi.
Lagu Comel Pipi Merah merupakan hasil ciptaan Siti sendiri dan liriknya pula ditulis oleh Rozi Sangdewi yang juga merupakan pengurus peribadinya.
Tak sabar rasanya nak tunggu baby girl Siti dan Datuk K lahir… Mesti comel macam ibunya juga! – MYNEWSHUB.CC/AH