Wednesday, January 22, 2025

Creating liberating content

Maut Terputus Kepala Digilis...

NIBONG TEBAL - Seorang lelaki mati dalam keadaan mengerikan apabila kepala terputus selepas...

Pengambilalihan Splash Di Bawah...

SHAH ALAM - Tawaran pengambilalihan Syarikat Pengeluaran Air Sela­ngor Sdn Bhd (SPLASH) berjumlah...

Melaka Sedia Bantu Pengusaha...

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka bersedia untuk membantu penternak dan pengusaha ikan laga...

Gadis Penggal Kepala, Kerat...

MENGERIKAN. Kematian seorang bekas anggota polis di tangan kekasihnya yang berusia 21 tahun...

Dengan Manchester City, UAE Atasi Qatar Di Padang Bola

MANCHESTER City kini menduduki posisi teratas dalam Liga Perdana Inggeris, meninggalkan pasukan kedua di belakangnya, Manchester United, sebanyak 16 mata.

Musim 2017-2018 kini berbaki lapan perlawanan, tetapi City sudahpun dijangka bakal memecahkan beberapa rekod liga.

City telah mencapai rekod 18 kemenangan berturut-turut, dan berpotensi mencapai rekod mata terbanyak dikumpul dan gol terbanyak.

Sejak di bawah pengurusan baharu, City telah muncul sebagai juara Liga Perdana Inggeris sebanyak dua kali, pada tahun 2012 dan 2014.

Musim ini, City sedang jauh mendahului dan dijangka mengungguli Liga Perdana buat kali ketiga, dengan catatan rekod yang lebih cemerlang.

Walau bagaimanapun, kejayaan City yang dicatat sejak 2012 lebih daripada sekadar cerita bola sepak, tetapi melibatkan rancangan sebuah negara, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang sedang meningkatkan kuasa dan pengaruh di peringkat global.

Syeikh Mansour bin Zayed al-Nahyan, ahli keluarga diraja Abu Dhabi yang menerajui Abu Dhabi United Group.

Perkembangan terbaru ini ialah hasil kejayaan Abu Dhabi United Group for Development and Investment (ADUG), sebuah firma ekuiti milik Syeikh Mansour bin Zayed al-Nahyan dari keluarga diraja Abu Dhabi.

ADUG mengambil alih Manchester City pada 1 September, 2008 daripada Thaksin Shinawatra, bekas perdana menteri Thailand yang hidup dalam buangan.

ADUG melalui anak syarikatnya City Football Group yang ditubuhkan pada 2014 menguruskan Manchester City dan kelab-kelab lain di bawahnya.

Bola sepak ialah satu bahagian penting dalam agenda dasar luar UAE dan Qatar, yang melabur ratusan juta dolar untuk memiliki, dan menjadi rakan global pasukan-pasukan bola sepak paling hebat di dunia.

Pada masa kini, semasa projek UAE ini sedang memuncak, pesaingnya Qatar pula berdepan cabaran getir apabila perancangannya dalam bola sepak merudum dan digugat.

Neymar Jr, pemain mahal yang dibeli kelab milik Qatar, Paris Saint-Germain dari Barcelona kini dilanda kecederaan dan sedang menjalani rawatan.

Neymar Jr dikhabarkan bakal berpindah semula ke Barcelona.

Pada masa sama, muncul cerita yang pemain terkemuka dari Brazil itu mahu kembali ke kelab lamanya Barcelona, kerana dikatakan kurang cabaran di liga Perancis.

Neymar melonjakkan namanya sepanjang bersama Barcelona, dan gandingan cemerlangnya dengan Lionel Messi dan Luis Suarez menyaksikan Barcelona memenangi Liga Juara-Juara Eropah pada 2015.

Sehingga Julai 2017, nama Qatar – Qatar Airways – terpampang di depan jersi Barcelona, pasukan terkemuka dengan salah satu jersi paling dikenali di dunia, satu catatan kejayaan bagi Qatar dalam mempromosi namanya dalam bola sepak antarabangsa.

Penglibatan dua negara Arab Teluk ini pada masa sama menyaksikan jenama syarikat penerbangan mereka, Emirates Airline, Etihad Airways, dan Qatar Airways muncul di jersi-jersi paling berprestij dalam dunia bola sepak, menandakan kedudukan mereka dalam bola sepak dunia dan kekuatan ekonomi syarikat dan negara terbabit.

Rakuten mengambil alih tempat Qatar Airways dari jersi Barcelona pada Julai 2017.

Bermula 1 Julai tahun 2017, jenama kedai dalam talian Jepun, Rakuten mengambil alih tempat Qatar Airways di “jersi paling bernilai” di dunia itu, menjadi rakan global utama kelab Sepanyol itu hasil kontrak selama empat tahun bernilai AS$235 juta.

Tidak lama selepas itu, pada bulan Ogos, Neymar berpindah ke Paris Saint-Germain, syarikat milik Qatar dengan rekod bayaran AS$263 juta.

Qatar Sports Investment memiliki PSG sejak 2011, yang dengan modal besar cabang pelaburan kerajaan Qatar itu menjadikan kelab liga utama Perancis itu sebagai kelab yang kaya, dan mula melonjak selepas mengambil pemain Sweden, Zlatan Ibrahimovic.

PSG muncul juara liga utama Perancis sejak itu, mengungguli Ligue 1 sejak musim 2012-2013 hingga 2015-2016.

PSG bersama Neymar yang diharapkan untuk melonjakkan lagi nama Qatar, dengan matlamat segeranya memenangi Liga Juara-Juara Eropah, masih belum menampakkan hasil.


Perkembangan terkini, kekalahan kepada Real Madrid dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, memberi gambaran projek Qatar membina nama melalui bola sepak ini berdepan satu rintangan besar.

Manchester City sedang menunjukkan prestasi lebih baik berbanding Paris Saint-Germain di Liga Juara-Juara Eropah.

City pula menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding PSG di Liga Juara-Juara musim ini.

Pada masa Qatar berdepan krisis diplomatik dikepung jirannya Arab Saudi, UAE, dan Bahrain, persembahan lebih cemerlang daripada PSG amat diperlukan, sekurang-kurangnya untuk mengatasi pesaingnya di padang bola.

Pembelian bernilai tinggi itu mula menimbulkan persoalan tentang rasionalnya, dari segi perniagaan dan juga prestij untuk Qatar menjelang Piala Dunia 2022 yang menjadi salah satu motif pentingnya.

Bagi Qatar, di peringkat lebih tinggi, kedudukannya sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022 tergugat oleh pelbagai isu, daripada cuaca yang sangat panas semasa kejohanan dijadual berlangsung dan dakwaan pencabulan hak asasi pekerja asing yang membina kemudahan-kemudahan mega untuk pertandingan itu.

Sejak beberapa tahun lalu, pelbagai laporan mengenai pencabulan hak asasi pekerja di sektor pembinaan di Qatar muncul, dilaporkan secara meluas oleh media antarabangsa, menjejaskan imej Qatar.

Program membina jenama Qatar dilaksanakan oleh Qatar Sports Invesment itu kelihatan merudum dan masih jauh daripada matlamat mencatat kejayaan yang diidamkan, berbeza dengan projek global UAE dilaksanakan City Football Group.

Kelab milik Abu Dhabi di Amerika Syarikat, New York City Football Club.

UAE terus melonjak dengan projek City Football Group di seluruh dunia, dari Eropah hingga ke Australia, dan seperti dipamerkan Manchester City di Liga Perdana Inggeris, tahun ini ialah tahun yang menggembirakan bagi negara pemilik jenama ulung ini.

Sebagai satu projek globalnya membina jenama bola sepak antarabangsa, City Football Group telah menggunakan jenama City untuk meluaskan kuasanya dalam arena bola sepak yang juga berkait dengan pengaruh ekonomi dan politik.

Di New York, Amerika Syarikat, hasil persetujuan dicapai oleh ketua pegawai eksekutif Manchester City dengan pemilik pasukan baseball New York Yankees pada September 2012, kelab New York City Football Club ditubuhkan, dan kini salah sebuah kelab bernilai dan popular, bermain dalam liga utama Major League Soccer.

Di liga utama Australia, jenama City dibawa oleh kelab Melbourne City.

Di Australia, kelab Melbourne Heart dibeli oleh City Football Group dan dijenamakan semula sebagai Melbourne City Football Club pada 2014, bermain dalam liga utama bola sepak Australia.

Ketiga-tiga pasukan ini, Manchester City, New York City, dan Melbourne City menggunakan jersi pertama mengandungi warna sama, biru muda, dan memaparkan nama dan logo Etihad Airways.

Manchester City, kelab paling bernilai dan terkenal dalam kalangan kelab City Football Group berperanan sebagai kelab flagship untuk jenama global milik UAE ini.

Di UAE pula, tahun ini ialah tahun kedua Abu Dhabi menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak belia dikenali Manchester City Abu Dhabi Cup, menerima penyertaan 96 pasukan dari seluruh dunia.

Menyempurnakan projek Abu Dhabi ini, ADUG pada 2014 bekerjasama dengan majlis bandaraya Manchester dalam satu program pembangunan bernilai 1 bilion pound di bandar itu, termasuk membina 6,000 buah rumah bagi menyegarkan semula kawasan yang terabai di sana.

Sejak kedua-dua UAE dan Qatar memasuki dunia bola sepak Eropah sebagai usaha melonjakkan jenama nasional masing-masing, dunia bola sepak di rantau itu terus mengalami perubahan yang dramatik hingga ke hari ini.

Pada peringkat ini, Abu Dhabi dan UAE kelihatan mengukuhkan kedudukan mengatasi pesaingnya Qatar, melalui perancangan dan pelaksanaan yang cemerlang.

Satu program utama dasar luar kedua-dua negara itu kini menjadikan padang-padang bola sepak di Eropah dan juga Amerika Syarikat dan Australia sebagai medan persaingan sengit kuasa ekonomi dan politik Abu Dhabi dan Doha, menemukan kuasa politik, ekonomi, dan budaya popular global. – MYNEWSHUB.CC/HZ

Kategori